HULU SELANGOR – Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mengakui ada hutang, tetapi bukan dengan ah long.
Beliau yang memangku jawatan Ketua Parti Bersatu berkata, semua orang mempunyai hutang, termasuk dirinya yang ada perniagaan sendiri.
“Termasuk yang baharu ini, saya ada perniagaan sendiri dan saya rasa semua orang berniaga ada hutang,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Wanita Gempur PN di Batang Kali pada Sabtu.
Baru-baru ini timbul kontroversi mengenai isu hutang dengan perkhidmatan kredit komuniti, tetapi beliau menafikan dan menyifatkan sebagai fitnah jahat yang sengaja dilemparkan kepadanya.
“Pada saya, itu satu fitnah jahat seperti yang berlaku ketika hari penamaan calon minggu lalu.
“Saya diserang apabila wartawan bertanyakan mengenai sijil kelayakan akademik. Bukan saya tidak mahu komen, tetapi bukan masanya ketika itu dan saya tidak menipu mengenai kelayakan akademik saya,” katanya.
Turut hadir pada sidang media itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun.
Sebelum ini, media melaporkan, Khairul Azhari cuba mengelak daripada mengulas isu berkaitan hutang ketika ditanya pemberita dalam satu program PN Rabu lalu.
Dalam pada itu, beliau beranggapan, serangan menggunakan isu peribadi ketika kempen tidak sesuai untuk sistem pilihan raya.
“Saya ada hutang rumah, kereta dan tidak mengatakan tidak ada hutang. Yang penting bukan hutang dengan ‘ah long’.
“Hutang dengan ‘ah long’ kad bank dipegang, kita tidak (boleh) ke mana. Rumah kena simbah cat, tapi itu bukan saya,” tegasnya. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252