LOS ANGELES – Universiti California, Los Angeles (UCLA), sebuah universiti awam terkemuka di Amerika Syarikat (AS) membatalkan semua kelas semalam selepas insiden pertempuran ganas di kampus berhubung konflik Israel-Palestin di Gaza yang berterusan.
“Disebabkan kesusahan akibat keganasan yang berlaku di Royce Quad lewat malam tadi dan awal pagi ini, semua kelas dibatalkan hari ini,” kata universiti itu dalam makluman kepada fakulti, kakitangan dan pelajar pada pagi semalam, lapor Xinhua.
Pihak universiti menggesa mereka mengelakkan kawasan Royce Quad dan mengumumkan Royce Hall, antara bangunan asal dan simbol penentu untuk kampus UCLA, ditutup sehingga esok.
Minggu lalu, penunjuk perasaan pro-Palestin mendirikan khemah berhampiran Dewan Royce sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Pertempuran ganas meletus antara penunjuk perasaan pro-Palestin dan penunjuk perasaan pro-Israel lewat malam kelmarin dan berlangsung selama beberapa jam.
Bunga api, gas pemedih mata dan pergaduhan meletus sejurus selepas jam 10.50 malam waktu tempatan dan berterusan awal pagi semalam, ketika kira-kira 100 penunjuk perasaan pro-Israel cuba merampas sekatan di sekeliling dan menyerbu perkhemahan solidariti Palestin yang sedang berlangsung, menurut Daily Bruin, akhbar pelajar universiti.
“Kekacauan berlaku apabila Canselor Gene Block menghadapi kritikan kerana pengendalian perkhemahan yang tidak betul dan pada hari yang sama universiti menganggap perkhemahan itu menyalahi undang-undang, mengancam pelajar dengan penggantungan dan pengusiran,” lapor Daily Bruin.
Seorang peserta perkhemahan itu, yang tidak mahu namanya disiarkan atas sebab keselamatan, dipetik oleh Daily Bruin sebagai berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima yang cedera kebanyakannya mengalami kecederaan mata.
Naib Canselor untuk Komunikasi Strategik UCLA, Mary Osako dalam kenyataan tengah malam berkata, tindakan keganasan yang mengerikan berlaku di lokasi perkhemahan dan mereka segera menghubungi penguat kuasa undang-undang untuk sokongan bantuan bersama. Pihak bomba dan anggota perubatan turut berada di tempat kejadian.”
“Kami muak dengan keganasan yang tidak masuk akal ini dan ia mesti berakhir,” kata Osako.
Akhbar tempatan melaporkan penunjuk perasaan bertempur selama lebih dua jam sebelum anggota keselamatan campur tangan.
Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass berkata, dalam satu catatan di platform media sosial X bahawa keganasan yang berlaku di UCLA adalah “benar-benar menjijikkan dan tidak boleh dimaafkan”.
Berikutan penahanan lebih 100 penunjuk perasaan pelajar bulan lalu di Universiti Columbia di New York, demonstrasi pro-Palestin semakin merebak di kolej dan universiti di seluruh AS.
Selain UCLA, pelajar di beberapa kolej dan universiti California yang lain, termasuk Universiti Stanford, Universiti California Selatan, UC Berkeley dan Negeri Sacramento menyertai bantahan.
Seramai 35 penunjuk perasaan pro-Palestin ditahan di Universiti Politeknik California, Humboldt, awal pagi semalam, menamatkan penghunian bangunan selama seminggu di kampus universiti di California Utara. – BERNAMA-XINHUA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252