Saintis AS nafi penyelidikannya punca pandemik Covid-19

WASHINGTON – Seorang saintis terkenal yang juga wakil tunggal warga Amerika Syarikat (AS) dalam misi siasatan coronavirus oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di China tiga tahun lalu, menolak dakwaan ‘penyelidikan berbahaya’ dengan kerjasama sebuah makmal di Wuhan mencetuskan pandemik.

Tindakan Presiden EcoHealth Alliance yang berpusat di New York, Peter Daszak itu dipersoalkan penggubal undang-undang AS dalam jawatankuasa kecil pilihan Dewan di Washington semalam.

Peter berkata, tugasnya di China adalah untuk “menyediakan manfaat kesihatan awam secara langsung kepada rakyat Amerika”.

“Virus yang kami kenal pasti dalam kelawar di China digunakan oleh makmal AS ketika pandemik Covid-19 untuk menguji ubat, vaksin dan terapi bagi menyelamatkan banyak nyawa,” kata Daszak yang juga pakar penyakit ekologi.

Sebelum pendengaran semalam, panel Dewan mengeluarkan laporan yang mendakwa EcoHealth Alliance membiayai “penyelidikan berbahaya” di Institut Virologi Wuhan menggunakan geran kerajaan AS tanpa sebarang pengawasan.

Di tengah-tengah ketegangan yang tinggi antara Washington dan Beijing, institut Wuhan menjadi perhatian beberapa tahun kebelakangan ini, dengan beberapa ahli politik dan agensi perisikan Amerika mendakwa pandemik itu berpunca daripada virus coronavirus dari makmalnya.

China berulang kali dan secara tegas menafikan dakwaan itu. Selepas menerima pembiayaan bernilai jutaan dolar AS daripada Institut Kesihatan Nasional yang disokong kerajaan AS sejak 2014, EcoHealth Alliance bekerja dengan institut Wuhan selama bertahun-tahun sebelum wabak itu.

Portal berita South China Morning Post melaporkan kerjasama itu termasuk penyelidikan mengenai memahami risiko virus kelawar yang tersebar dalam tubuh manusia di China.

Penyelidikan itu mendapat perhatian. Daszak dalam keterangannya menyatakan terdapat “bukti yang sangat besar bahawa virus muncul melalui apa yang dipanggil asal usul zoonotik semula jadi” iaitu penyebaran kuman antara haiwan dan manusia.

Sehingga kini, masih tiada bukti saintifik yang boleh disahkan secara langsung bahawa COVID-19 berasal dari makmal, tambah pakar ekologi itu. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *