BERITA UTAMA

Ramalan DAP menang, mesej Tun M kepada orang Melayu – Tok Him

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi pandangan terus terang berhubung keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang berpihak kepada calon DAP dari kerajaan perpaduan, Pang Sock Tao.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, ramalan mantan Perdana Menteri yang berpihak kepada DAP disebabkan undi Melayu di DUN berkenaan berpecah adalah tepat.

“Tun Mahathir ramal DAP akan menang di Kuala Kubu Baharu kerana undi Melayu berpecah walaupun hampir 50 peratus. Ini pandangan terus terang sebab undi kaum Cina teguh bersatu bersama parti cauvinis itu.

“Dan, pasti ada Melayu menyokong DAP atas peranan parti UMNO sendiri, setidak-tidaknya Melayu UMNO pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Manakala undi orang India walaupun riuh rendah bunyinya, tetapi senang diurus. Ini pengalaman yang kita tengok sebelum ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dr. Ibrahim berkata, biro politik Putra sebenarnya secara diam-diam telah bersiap sedia meletakkan calon di DUN Kuala Kubu Baharu.

Kata beliau, cadangan itu akan dilaksanakan sekiranya tidak ada calon Melayu bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Kita hanya mengambil sikap tunggu dan lihat dan secara diam-diam menunggu pengumuman calon dari Pakatan Harapan (PH) dan PN.

“Sebaik sahaja ada calon Melayu dari PN, Putra membatalkan batal hasrat atau cadangan meletakkan calon bagi mengelak berpecah lagi undi Melayu.

“Terdapat satu calon Melayu pun masih lagi undi Melayu berpecah kerana ada Melayu sanggup menjadi alat kepada kaum lain kerana terlalu berkepentingan diri dan luntur pegangan semangat nasionalisma bangsa,” ujar beliau.

Mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir itu, Dr. Ibrahim berkata, apapun ramalannya iaitu DAP menang di PRK Kuala Kubu baharu, boleh juga ditafsirkan sebagai mesej.

Katanya, kalau mahu calon Melayu menang, orang Melayu kenalah bersatu seperti masyarakat Cina.

“Inilah mesej sebenar Tun Dr. Mahathir,” katanya. – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *