Tajuk Utama

    MITRA sudah belanja RM40 juta daripada peruntukan RM100 juta tahun ini

    GEORGE TOWN – Sebanyak RM40 juta daripada peruntukan RM100 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah dimanfaatkan untuk pelbagai program bagi memastikan transformasi dan peningkatan sosioekonomi masyarakat itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, P. Prabakaran berkata, jumlah RM40 juta itu telah dibelanjakan secara efektif melalui pelbagai inisiatif strategik yang akan memberi keutamaan kepada golongan B40.

    “Kita ada hala tuju dan setakat ini, MITRA telah menjalankan pelbagai program, antaranya subsidi bantuan pengajian ijazah sarjana muda, subsidi pendidikan awal tadika swasta dan subsidi dialisis.

    “Selain itu, baki peruntukan sebanyak RM60 juta akan digunakan bagi banyak lagi program dan perancangan yang telah diatur seperti dana pendidikan, sijil profesional, bantuan kepada golongan di estet dan penduduk kampung,” katanya kepada pemberita di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kaum India Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

    Beliau ditemui selepas merasmikan Program Bantuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Pulau Pinang berjumlah RM700,000 dalam bentuk pembelian peralatan perniagaan dan khidmat nasihat kepada 125 usahawan India B40 di negeri itu.

    Katanya, pihaknya juga merancang untuk memberi pendedahan kepada masyarakat India berhubung ekonomi digital supaya dapat membawa mereka seiring dengan dasar kerajaan dan ke arah era Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan pendigitalan. – BERNAMA

    Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *