KUALA LUMPUR – Laporan Pasaran Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) 2023 mendedahkan pertumbuhan luar biasa wilayah itu yang menyumbang RM1.2 bilion kepada hasil fiskal Malaysia dan melepasi paras RM1 bilion buat pertama kalinya.
Laporan itu yang dikeluarkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), menunjukkan peningkatan ketara dalam aktiviti pasaran merentas sektor-sektor utama, menunjukkan pemulihan yang kukuh daripada cabaran ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 pada tahun-tahun sebelumnya.
Ia menggambarkan landskap keyakinan yang memberangsangkan didorong oleh pelan tindakan strategik lima tahun yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Strategik Labuan IBFC 2022-2026.
Ketua Pengarah Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, ia juga menunjukkan pengembangan ketara dalam volum perniagaan dan lonjakan kemasukan baharu, terutama dalam perbankan, insurans, kaptif, syarikat-syarikat amanah, pasaran modal, perkhidmatan kewangan digital dan pengurusan kekayaan.
“Paling penting ialah kebanjiran pemerbadanan syarikat-syarikat baharu yang menjadi bukti nyata kepada trajektori positif pasaran yang berterusan.
“Lonjakan dalam keuntungan ini mencecah kira-kira AS$4 bilion merentasi sektor-sektor utama seperti perbankan, insurans dan syarikat amanah mengesahkan trajektori pertumbuhan baharu Labuan IBFC,” katanya ketika membentangkan Laporan Pasaran Labuan IBFC 2023 di sini, pada Jumaat. (AS$1=RM4.77)
Nik Mohamed Din berkata, sektor kewangan secara keseluruhannya mengagumkan dengan mencatatkan 880 institusi yang diluluskan dan berlesen, menguruskan jumlah aset yang besar bernilai AS$83.3 bilion.
“Selain itu, sektor kewangan Islam Labuan telah menerima inovasi digital sebagai asas strategi perniagaan, dengan menerbitkan aset digital Islam pertama di dunia, dikenali sebagai RAMZ bernilai AS$50 juta dan disenaraikan di bursa digital Labuan terpilih,” katanya.
Dari segi pembangunan ekonomi, Nik Mohamed Din berkata, Labuan IBFC terus berfungsi sebagai peneraju, memangkin pertumbuhan dan kemakmuran bagi komuniti Labuan.
“Penciptaan peluang pekerjaan baharu dan perbelanjaan tempatan yang meningkat oleh entiti Labuan, dianggarkan berjumlah RM219 juta, menunjukkan peranan penting pusat itu dalam memupuk daya hidup sosioekonomi.
“Terutamanya sumbangan daripada Labuan IBFC yang belum pernah berlaku sebelum ini sebanyak RM1.2 bilion kepada hasil fiskal negara menandakan satu kejayaan bersejarah, melepasi paras RM1 bilion buat kali pertama,” tambahnya. – BERNAMA
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!