KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan serta merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing terbabit.
Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UM, pihaknya mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berhubung perkara itu.
“UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentiment masyarakat seperti tular di laman media sosial.
“Laporan lengkap berhubung isu itu sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini,” kata kenyataan itu, semalam.
Semalam, media melaporkan tindakan UM menjemput seorang profesor pro-zionis dari Amerika Syarikat menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.
Bruce Gilley, profesor sains politik yang pernah menimbulkan kontroversi kerana mendokong tindakan kuasa barat menjajah negara lain berkata, ahli politik Malaysia mahukan “Holocaust kedua” atau pembunuhan ramai-ramai terhadap bangsa Yahudi.
Gilley turut menyerang bekas perdana menteri Dr. Mahathir Mohamad.
Menurutnya, UM memandang serius perkara itu dan memohon maaf kepada semua pihak.
Kata kenyataan itu lagi, demi memastikan perkara seperti itu tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutama semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuk kajian penilaian risiko profil media sosial.
Dalam pada itu, UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.
“Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.
“Pihak UM akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” kata kenyataan itu. – Nasionaldaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!