PAGI semalam (23 April 2024/Selasa) adalah hari yang paling mengejutkan, mendukacitakan dan menyedihkan. Kita digemparkan dengan insiden dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung di udara dan mengorbankan 10 wira serta wirawati negara.
Semua yang terkorban adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang khidmat mereka selama ini amat diharga seluruh rakyat Malaysia kerana tanpa mengira waktu, mereka menjaga keselamatan negara.
Pak Dee ambil masa satu minit untuk menyedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa yang beragama Islam dan bertafakur untuk mangsa yang bukan beragama Islam. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh wira dan wirawati negara ini. Aamiin.
Pak Dee dapat tahu insiden ini berlaku kira-kira jam 11.30 pagi. Pak Dee terputus dengan kejadian di luar sebab Pak Dee berada dalam Mahkamah Majistret Shah Alam mengikuti kes perbicaraan adik kepada seorang artis popular yang berdepan tuduhan pecah amanah tuntutan palsu.
Kerana otak menumpukan pada kes ini, Pak Dee tak ambil tahu hal luar. Bukan Pak Dee tak ada telefon. Pak Dee ada telefon, tapi malas nak tengok. Lagi pun duduk dalam mahkamah, tak seronok tengok telefon. Baik tumpu pada kes-kes yang berlaku melibatkan Orang Kena Tuduh (OKT).
Yang menyeronokkan buat liputan mahkamah ni, sementara tunggu kes perbicaraan, mahkamah diteruskan dengan kes-kes kanun keseksaan seperti dadah, menipu pelaburan, pecah amanah, bergaduh dan macam-macam lagi.
Sebab seronoklah mengikuti kes-kes yang macam-macam inilah Pak Dee terlepas dengar insiden yang mengorbankan nyawa perwira negara. Sehinggalah Pak Dee dibisikkan oleh orang sebelah, menunjukkan video kejadian dalam telefon bimbitnya.
Pak Dee terkejut. Pak Dee hilang kata-kata. Fikiran Pak Dee berbelah bahagi. Mengharapkan kejadian itu tidak berlaku di Malaysia dan bukan rakyat Malaysia yang terlibat.
Pak Dee lupakan kes yang sedang berjalan. Pak Dee buka telefon bimbit dan buat carian insiden yang berlaku. Masya-Allah, terpaku seketika Pak Dee selepas melihat rakaman video yang dikongsi dalam aplikasi Telegram, dalam portal-portal berita dan dalam media sosial.
Pak Dee terfikir dan tak boleh bayangkan, bagaimanakah perwira-perwira kita yang berada dalam dua helikopter itu berdepan dengan suasana sedemikian. Pak Dee doakan semoga Allah meringankan kesakitan mereka ketika berdepan dengan sakaratulmaut. Ya, Allah. Pak Dee hilang pedoman seketika. Pak Dee tak ambil peduli dah kes yang sedang berlangsung depan mata di mahkamah ketika itu.
Beberapa minit kemudian Pak Dee kembali normal. Pak Dee tutup telefon dan beri tumpuan pada kes mahkamah. Tapi, dalam tumpuan itu, fikiran Pak Dee melayang-layang mengenangkan insiden berkenaan.
Ketika mahkamah tangguh untuk satu jam, Pak Dee bergegas ke kantin mahkamah. Pekena teh tarik. Lega sikit. Fikiran pun dah mula tenang memikirkan insiden di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak itu.
Pak Dee cuba kuatkan semangat, buka media sosial Facebook. Majoriti status ketika itu berkisar insiden perlanggaran dua pesawat itu. Satu pesawat, jenis Agusta WestlandHOM (M503 3) dinaiki tujuh kru, manakala satu lagi pesawat, jenis Fennec (M502 6) dinaiki tiga kru.
Kru yang berada dalam dua pesawat itu bukan calang-calang anggota. Mereka adalah yang berpangkat Komander, Leftenan Komander, Leftenan, Pegawai Waran II, Bintara Muda dan Laskar Kelas I.
Negara kehilangan perwira yang tangkas, berani dan tegas. Mereka bertugas dan berkhidmat tanpa mengira bahaya dan cabaran. Semuanya demi menjamin keselamatan 33 juta rakyat Malaysia dan tanah air dari diceroboh musuh-musuh.
Cuma Allah lebih sayangkan mereka dan Allah mengambil mereka, mendahului kita yang masih bernafas ini.
Kepada keluarga dan ahli keluarga wira dan wirawati yang terkorban demi negara, sabar dan tabahlah hadapi ujian Allah. Takziah kepada mereka. Aamiin.
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!