KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sekurang-kurangnya tujuh barangan penjaja warga asing dalam operasi sekitar Jalan Sultan (Pasar Karat), Jalan Petaling dan Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) di sini, semalam.
Operasi menerusi Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Tindakan Khas Aktiviti Penjaja Parlimen Bukit Bintang itu turut mengeluarkan notis kompaun kepada peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Menurut kenyataan DBKL, kawalan, pemantauan dan pemeriksaan berkaitan aktiviti perniagaan yang beroperasi sekitar kawasan tapak lama Pasar Karat di Jalan Sultan, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Balai Polis dan Jalan Silang sentiasa dilakukan.
“Kali ini kita telah mengambil tujuh tindakan sita ke atas penjaja warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan barangan terpakai, sireh dan makanan tanpa lesen dan kebenaran dari pihak berkuasa.
“DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun ke atas peniaga tempatan yang beroperasi tanpa lesen iaitu menjual aksesori dan peniaga makanan di bawah kesalahan UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Katanya, semua barangan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
Menurutnya, kawalan penguatkuasaan dijalankan bersama Jabatan Pelesenan Pembangunan Perniagaan DBKL bagi pemerhatian agar semua aktiviti perniagaan Pasar Karat beroperasi sepenuhnya dilokasi baru berhampiran Pasar Lee Lam Thye di Lorong Bandar 21. – ND
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!