BERITA UTAMA

KPDN tumpas kegiatan seleweng diesel subsidi di Klang

PUTRAJAYA – Kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang dilakukan satu sindiket di sebuah premis di Klang, Selangor terbongkar apabila diserbu anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada 16 April lalu.

Serbuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 48 dan 67 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, modus operandi sindiket ialah menggunakan pelbagai nombor pendaftaran kenderaan palsu bagi mengaburi pihak berkuasa dan menjadikan lokasi serbuan yang merupakan stor haram sebagai tempat menyimpan serta memindahkan minyak diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap.

“Hasil pemeriksaan lanjut keseluruhan premis itu, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti dianggarkan berjumlah 9,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan bagi kegiatan penyelewengan diesel,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebuah lori, beberapa tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) dan skid tank yang mengandungi diesel, motor pam serta beberapa dokumen berkaitan dan peralatan lain yang dijumpai di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Dianggarkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM88,300, manakala kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti itu dan rantaian pengedaran diesel berkenaan, termasuk sumber bahan api itu diperolehi dan diedarkan.

Selain itu, beliau berkata, syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613). – BERNAMA

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *