BERITA UTAMA

Perbincangan Setiausaha Pertahanan AS, Menteri Pertahanan Israel sebelum serangan

SETIAUSAHA Pertahanan AS, Lloyd Austin ada berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant pada awal Khamis mengenai ancaman serantau dan tindakan Iran di Asia Barat, menurut kenyataan Pentagon.

Perbincangan itu diadakan sebelum Israel melancarkan serangan ke atas Iran.

Kenyataan Pentagon bagaimanapun, tidak menyebut sebarang perbincangan mengenai rancangan Israel untuk menyerang.

Dalam perkembangan berkaita, Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kerajaan Australia (DFAT) menggesa rakyatnya di Israel untuk “keluar jika selamat berbuat demikian”.

“Terdapat ancaman balas dendam ketenteraan dan serangan pengganas yang tinggi terhadap Israel dan kepentingan Israel di seluruh rantau ini.

“Keadaan keselamatan boleh merosot dengan cepat.

“Kami menggesa warga Australia di Israel atau Wilayah Palestin yang diduduki untuk keluar jika selamat untuk berbuat demikian,” menurut catatan dalam akaun Smart Traveller di X, yang menyiarkan nasihat daripada DFAT.

Jabatan itu memberi amaran, “serangan ketenteraan mungkin mengakibatkan penutupan ruang udara, pembatalan penerbangan dan lencongan serta gangguan perjalanan lain”.

Di TEHRAN, agensi berita negara, IRNA melaporkan sistem pertahanan udara Iran telah diaktifkan di beberapa wilayah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap potensi ancaman udara.

“Berikutan pengaktifan pertahanan udara di beberapa bahagian negara untuk menangani beberapa kemungkinan sasaran, laporan menunjukkan tiada serangan atau letupan berskala besar yang disebabkan oleh sebarang ancaman udara telah dilaporkan setakat ini,” kata IRNA awal Jumaat waktu tempatan.

Pemeriksaan menyeluruh di Isfahan, wilayah tengah yang menempatkan kemudahan nuklear, menunjukkan semua fasiliti ketenteraan dan keselamatan sensitif kekal selamat, tanpa sebarang insiden dilaporkan.

IRNA menambah, tiada pengaktifan sistem pertahanan peluru berpandu dilaporkan.

Agensi berita ISNA di Iran pula memetik kenyataan seorang pegawai kanan tentera yang tidak dinamakan sebagai berkata, letupan pagi Jumaat yang kedengaran di Isfahan adalah berkaitan dengan “aktiviti pertahanan udara” di bandar itu.

Komander itu dilapor berkata, pihak tentera telah melepaskan tembakan ke arah “objek mencurigakan” di kawasan itu.

Letupan itu bagaimanapun, tidak menyebabkan sebarang kemalangan atau kerosakan, komander itu dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, terdapat laporan beberapa “mini quadcopter” ditembak jatuh berhampiran Isfahan.

Serentak itu, Iran telah menarik balik sekatan penerbangan di seluruh negara, membuka jalan untuk menyambung semula penerbangan berjadual di semua lapangan terbangnya.

Sebelum ini, agensi berita Tasnim, yang bergabung dengan Pengawal Revolusi, melaporkan bahawa pihak berkuasa penerbangan awam negara itu mengumumkan penarikan balik sekatan penerbangan di kebanyakan lapangan terbang.

Entekhab News juga melaporkan bahawa penerbangan kembali normal di lapangan terbang domestik utama Tehran, Mehrabad.

Agensi berita separuh rasmi Iran, Mehr melaporkan, bandar tengah Isfahan kini tenang dan selamat.

Ia selepas beberapa jam susulan letupan yang dilaporkan berhampiran lapangan terbang bandar itu.

“Orang ramai meneruskan kehidupan mereka seperti biasa,” menurut laporan langsung stesen televisyen yang menunjukkan trafik awal pagi di persimpangan utama bandar itu.

Laporan itu mengatakan bahawa bunyi kedengaran di seluruh bandar di Isfahan beberapa jam sebelum itu, sambil menambah bahawa beberapa UAV kecil telah ditembak jatuh. – ND

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *