BERITA UTAMA

Pegawai teknologi makanan ditemui mati di depan unit apartmen

MIRI – Polis Miri mengesahkan kematian seorang pegawai teknologi makanan yang mayatnya dijumpai terbaring di hadapan sebuah unit apartmen di sini, awal pagi Ahad sebagai mati mengejut.

Berikutan itu, kata Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, satu kertas siasatan dibuka bagi mengenal punca kematian si mati.

UtusanBorneo melaporkan, sekitar jam 5.35 pagi, 14 April semalam, polis telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan seorang lelaki yang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah apartmen di sini.

Berikutan dari maklumat itu, satu laporan polis telah dibuat dan sepasukan pegawai serta anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba di tempat kejadian, kita dapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan unit apartmen yang didiaminya.

“Pemeriksaan lanjut di tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan atau unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi.

Menurut Alexson lagi, hasil pemeriksaan ke atas dokumen milik si mati mendapati lelaki terbabit berusia lingkungan 46 tahun, berasal dari Kuching serta bekerja sebagai pegawai teknologi makanan di bandar raya ini.

“Kematian mangsa telah disahkan oleh penolong pegawai perubatan dari Hospital Miri dan mayatnya kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut kerana ia akan mengganggu siasatan.

Sebaliknya ujar beliau, individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *