JOHOR – Pemuda Amanah Johor mengecam seorang individu menghina sultan dengan tuduhan kononnya baginda tidak menjaga agama.
Ketuanya, Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, tuduhan seperti itu tidak wajar terhadap institusi Kesultanan Melayu, kerana boleh memecah belah masyarakat dengan naratif menyeru untuk tidak taat setia kepada sultan.
Beliau menegaskan, rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan pemimpin parti politik seharusnya menunjukkan contoh taat setia kepada institusi beraja dalam negara yang menjadi tunjang negara dan penjaga kepada agama Islam serta adat istiadat Melayu.
“Menyalurkan pendapat adalah hak setiap individu, tetapi itu juga harus diiringi dengan sikap yang bertanggungjawab dan penuh rasa hormat terhadap institusi Raja-raja Melayu.
“Pemuda Amanah menyerukan kepada semua pihak untuk menahan diri dari menulis sesuatu yang dapat memicu rasa tidak taat masyarakat kepada raja, apatah lagi naratif terbabit dibina dari sangkaan semata mata.
“Sultan dan raja tidak bermain politik sebagaimana sesetengah pihak dalam menanggapi isu berkait sensitiviti agama sehingga dituduh tidak peduli,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau mengulas hantaran seorang individu menerusi akaun Facebook berhubung doa kepada sultan dalam khutbah Jumaat, yang mana lelaki terbabit mendakwa tidak menadah tangan.
Menurut Muhammad Taqiuddin, Islam di Malaysia berada dalam kedudukan terbaik sebagai agama rasmi persekutuan dengan dakwah yang terus berkembang pesat di seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, pertumbuhan institusi agama seperti masjid, madrasah dan pusat kegiatan Islam juga semakin meluas, mencerminkan komitmen yang kuat terhadap keagamaan serta kebudayaan Islam di negara ini.
Ujar beliau lagi, wujud kejadian kejadian yang tidak hormat terhadap agama Islam juga mendapat reaksi pantas dari pihak berkuasa termasuk menghukum mereka yang bersalah, tidak sebagaimana dakwaan sesetengah pihak seolah tiada kepedulian dari pemerintah.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh menyifatkan kenyataan individu terbabit sebagai amat keterlaluan apabila cuba memfitnah seolah Yang di-Pertuan Agong tidak meletakkan agama di tempat pertama.
“Ini adalah satu penghinaan kepada institusi raja selaku ketua umat Islam di negara ini.
“Insya-Allah malam ini saya telah minta kepimpinan Pemuda UMNO Johor untuk membuat laporan polis atas tuduhan melampau yang telah dilemparkan oleh individu ini
“Kami tetap akan mempertahankan agama, bangsa dan raja-raja kami tidak kira siapa pun kamu,” tegasnya. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!