BERITA UTAMA

Kakak Bella jadi ‘ibu’ gembirakan Eusuf dan Mariam di Aidilfitri

BATU PAHAT – Ketiadaan Mira Sharmilah Samsusah atau Bella pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini sememangnya memberikan kesan kepada kedua-dua anaknya, Eusuf Abdul Fatah, 5, dan Mariam, 3.

Kakak Bella, Norhisham Samsusah, 37, berkata perasaan tidak gembira jelas kelihatan terutamanya pada wajah Eusuf, yang banyak termenung dan kurangnya bercakap tidak seperti Aidilfitri tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata yang mesra disapa dengan panggilan Ayu, kini kedua-dua anak saudaranya itu seakan mengharapkan seseorang untuk memberikan belaian kasih sayang seorang ‘ibu’, yang selama ini sentiasa bersama mereka ketika susah dan senang.

“Terima kasih Ummi (panggilan Eusuf kepada Ayu)…itulah antara perkataan yang keluar dari mulut Eusuf ketika saya memakaikannya baju raya, selain menyatakan tahun ini Mummy (Bella) tidak kelihatan pada pagi Hari Raya.

“Kata-kata berkenaan membuatkan saya sebak dan ia menggambarkan yang anak saudara saya ini terlalu rindu kepada ibunya, setelah lebih empat bulan tidak berjumpa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, di sini, semalam.

Ayu berkata melihatkan keadaan berkenaan, dia merasakan yang dirinya perlu menjadi ‘pengganti’ kepada ibu kepada anak saudaranya itu, supaya tidak terlalu terasa kehilangan insan yang sentiasa menyayanginya.

Beliau berkata dia sendiri juga merasa kehilangan Bella, apabila kebiasaannya tibanya lebaran adiknya itu merupakan individu yang paling teruja melakukan persiapan hari raya, di mana tahun ini agak sepi apabila celoteh Bella tidak lagi wujud.

“Begitu juga ketika Ramadan, kalau sebelum ini, kami berbuka puasa bersama namun kali ini terlalu sunyi rasanya setelah ketiadaan Bella.

“Tahun ini kami sekeluarga menyambut Aidilfitri di kampung di Kuala Selangor…saya akan cuba menggembirakan kedua-dua anak saudara saya ini, selagi hayat dikandung badan saya akan memberikan kasih sayang kepada mereka, yang mana saya menganggap ia satu amanah untuk mendidik serta membesarkan mereka,” katanya.

Terdahulu, pada 14 Dis 2023, Bella gagal dihubungi selepas keluar rumah dengan menaiki kereta teman lelakinya pada pukul 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran.

Pada 19 Jan, rangka manusia tidak lengkap yang telah disahkan milik Bella, ditemukan polis di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7 Tongkang Pecah, di sini, setelah dipandu arah oleh suspek utama kes yang juga teman lelaki mangsa, sebelum pada 28 Feb enam lagi tulang yang kemudiannya disahkan milik Bella, turut ditemukan berhampiran lokasi penemuan rangka sebelum ini. – (Dipetik laporan BERNAMA)

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *