TEHRAN – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sekali lagi memberi amaran kepada Israel mereka ‘akan dihukum’ susulan serangan udara ke atas Damsyik yang membunuh tujuh Pengawal Revolusi termasuk dua berpangkat jeneral.
“Rejim zalim ini melakukan kesilapan dalam hal berkenaan. Ia mesti dan akan dihukum,” katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi rangkaian televisyen di sini, hari ini.
Susulan itu, Menteri Luar Israel, Katz dengan segera membuat hantaran pada akaun X dengan menggunakan bahasa Parsi pada kenyataan berkenaan.
“Jika Iran menyerang wilayah Israel, kami akan bertindak balas dan menyerang Iran,” katanya.
Khamenei berkata, serangan pada 1 April yang memusnahkan bangunan lima tingkat kedutaan Iran di ibu negara Syria itu, menggugat perjanjian antarabangsa yang memperuntukkan ketidakbolehcabulan premis diplomatik.
“Pejabat konsulat dan kedutaan di mana-mana negara adalah wilayah negara berkenaan. Apabila mereka menyerang konsulat kami, ini bermakna mereka menyerang wilayah kami,” katanya.
Khamenei mengetuai pegawai tertinggi Iran yang berjanji untuk membalas serangan berkenaan yang secara meluas dikaitkan dengan perbuatan musuh ketatnya, Israel.
Seorang penasihat kanannya, Yahya Rahim Safavi memberi amaran pada Ahad lalu bahawa kedutaan Israel ‘tidak lagi selamat’.
Israel berkata, minggu lalu pihaknya sedang mengukuhkan pertahanan dan menghentikan cuti untuk unit tempur berikutan ancaman balas Iran.
Iran tidak mengiktiraf Israel dan kedua-dua negara melalui perang bayangan selama bertahun-tahun.
Iran mendakwa Israel bertanggungjawab di sebalik gelombang serangan sabotaj dan pembunuhan yang menyasarkan program nuklearnya. – (Dipetik laporan AFP)
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!