PADA kebiasaannya implikasi buruk akibat perbuatan jenayah rasuah bukan sahaja akan dirasai oleh pelakunya, tetapi juga kepada sistem kehidupan berkeluarga, kemasyarakatan dan negara.
Antara kesan buruk jenayah rasuah ialah:
1) Menjual maruah diri
Jenayah rasuah yang dilakukan oleh anggota pentadbiran kerajaan dan pegawai awam, sebenarnya mereka telah menjual kuasa dan menggadaikan maruah dirinya kepada pemberi suapan rasuah.
Melalui perbuatan jenayah rasuah, si penerima telah menjadi pekerja atau “barua” bagi si pemberi suapan rasuah.
Si penerima suapan rasuah tidak akan dapat menggunakan kuasa dan pertimbangan sewajarnya dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh majikannya.
Meletakkan diri pelaku jenayah rasuah itu sama dengan nilai suapan yang diterima mencerminkan kebiadapan dan moral yang rosak serta dikutuk oleh masyarakat.
2). Menjatuhkan Maruah dan Melemahkan Institusi Keluarga
Apabila seseorang pemimpin atau pegawai awam terlibat dengan jenayah rasuah, dia telah membawa masuk rezeki haram kepada ahli keluarganya berupa makanan, wang.
Peralatan rumah atau pembelian aset seperti rumah, tanah dan kenderaan. Sekiranya dia telah ditangkap dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah akan menyebabkan imej dan maruah ibubapa dan ahli keluarganya tercemar.
Ahli keluarganya akan merasa malu dan terhina apabila berdepan dengan masyarakat, apatah lagi jika kes tersebut tersiar dalam media massa atau media sosial.
Akibat nyata kepada kehidupan keluarga adalah apabila seseorang itu hilang punca pendapatan iaitu gaji dan elaun bulanan kerana dihukum penjara dan dibuang kerja kerana jenayah rasuah, akan menyebabkan kesukaran untuk menyelenggara hidup ahli keluarga terutamanya pegawai awam yang sudah berkeluarga dan pasangan hidup pula tidak bekerja.
Hal ini menyukarkan untuk membeli keperluan makanan untuk keluarga, sewa rumah dan keperluan persekolahan anak-anak.
Lebih malang lagi jika dia perlu membayar balik hutang ansuran pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi atau pinjaman perumahan dengan bank atau koperasi. Malah dia akan berdepan dengan tindakan undang-undang dan boleh diisytiharkan bankrap jika gagal membayar balik hutang tersebut. Pada akhirnya boleh menyebabkan tekanan emosi dan mental akibat pembuangan kerja tersebut.
Perlu dijelaskan, seseorang yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana terlibat jenayah rasuah dan dibuang kerja akan menghadapi kesukaran besar untuk mendapatkan pekerjaan sama ada di sektor awam atau swasta kerana rekod perkhidmatan dengan majikan asal tercatat status dibuang kerja.
Akhirnya akan mendedahkan individu itu kepada berlaku gejala tidak sihat dan melanggar undang-undang seperti terlibat dengan penagihan dadah, mencuri dan krisis rumah tangga sehingga berlaku penceraian yang berpunca dari masalah hilang punca pendapatan dan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan baharu untuk memulakan kehidupan baru.
3) Ketidakadilan Sosial. Perbuatan menyogok suapan rasuah kepada mereka yang berkuasa dan berpengaruh oleh ahli-ahli perniagaan atau kontraktor yang kurang cekap atau tidak beretika untuk mendapatkan sesuatu projek, lesen perniagaan, kontrak, jawatan dan pemilikan saham telah menafikan hak golongan tertentu.
Oleh kerana tidak mampu atau enggan memberikan suapan rasuah, maka mereka yang berkelayakan dan sepatutnya mendapat hak telah tidak dilayan dan diabaikan.
Akibatnya mereka yang jujur atau tidak mampu memberikan sogokan wang rasuah kepada pihak tertentu akan tertindas dan tidak mampu meneruskan perniagaan atau pekerjaan secara halal.
Sebaliknya mereka yang memberi suapan rasuah untuk mendapatkan kontrak atau projek akan memperoleh tawaran kerja atau dipilih walaupun tiada kelayakan, pengalaman atau kemampuan. Kesannya akan menyebabkan ketidakadilan akan terus wujud.
Jenayah rasuah juga menjadikan seseorang itu “jutawan segera” dan mendadak tanpa perlu memerah keringat dan berkerja keras untuk memperoleh harta kekayaan. Kekuasaan dan pangkat yang dimiliki akan digunakan untuk mengumpulkan harta dan kekayaan tanpa memikirkan persoalan halal dan haram.
Kesannya wujudnya jurang kekayaan yang semakin luas apabila masih ramai yang hidup miskin di rumah-rumah setinggan di bandar-bandar, pengangguran, keciciran dalam pendidikan dan pelbagai gejala sosial. Akibatnya mereka yang miskin bertambah miskin dan tertindas, manakala mereka yang berkelayakan dan benar-benar jujur tidak terpilih.
4) Meninggikan Kos Hidup
Para peniaga, kontraktor atau pengilang yang terpaksa memberikan suapan rasuah kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan lesen perkhidmatan, permit, kontrak atau projek menyebabkan mereka mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan untuk menampung kos perbelanjaan kerana pemberian suapan rasuah tersebut adalah diambil kira sebagai satu perbelanjaan.
Untuk memperoleh balik “kos rasuah yang dibayar” itu, mereka akan mengenakan bayaran tinggi kepada pelanggan dengan menaikkan harga barang atau perkhidmatan.
Sekiranya para peniaga atau pengilang tidak dapat menaikkan harga barangan atau perkhidmatan, mereka akan mengurangkan mutu barangan yang dikeluarkan. Akibatnya akan dirasai oleh orang awam yang membeli atau menggunakan barangan atau perkhidmatan tersebut kerana terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang tinggi dan kurang mutunya.
Jenayah rasuah menyebabkan sesuatu keputusan yang dibuat memihak kepada si pemberi rasuah dan bukan di atas pertimbangan kelayakan dan persaingan sihat. Kesannya akan menyebabkan kurangnya kecekapan dan keuntungan setimpal kepada pihak swasta dalam konteks persyarikatan.
Jenayah rasuah juga telah memberi kesan buruk kepada kemasukan pelabur-pelabur asing di negara ini sekiranya perlakuan jenayah rasuah tidak dibendung dan berleluasa di negara ini.
Pertimbangan para pelabur untuk membawa masuk modal dan membuka syarikat atau kilang-kilang di negara ini amat bergantung kepada sejauh mana keazaman dan ketelusan negara tersebut mengawal dan mengekang jenayah rasuah. Mereka tidak akan datang ke negara yang mempunyai tahap indeks jenayah rasuah yang tinggi dan berleluasa.
5) Membahayakan Nyawa Dan Harta Benda
Sekiranya syarikat pemaju perumahan atau kontraktor pembinaan memberi suapan rasuah kepada pegawai awam seperti jurutera, arkitek dan jurukur bahan, mereka akan mengurangkan kualiti bahan binaan dan tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan kerana sebahagian dari keuntungan mereka itu telah dikeluarkan untuk bayaran wang rasuah.
Akibatnya bangunan atau jalan raya yang dibina akan mudah retak atau runtuh yang boleh membahayakan pengguna. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya kejadian keruntuhan sebuah bangunan yang mengakibatkan berlaku kemalangan jiwa dan harta benda hanya kerana perbuatan jenayah rasuah yang dilakukan di antara kontraktor dengan pegawai awam.
Sekiranya kejadian-kejadian ini menyebabkan kematian atau kecederaan kepada orang awam, maka jenayah rasuah boleh dianggap sebagai “pembunuh misteri”. Hal ini kerana kita tidak dapat membuktikan dan mendakwa di mahkamah siapakah sebenarnya yang terlibat menyebabkan malapetaka tersebut.
Jenayah rasuah jenis ini juga mempunyai implikasi serius bukan sahaja merugikan harta benda dan ketirisan hasil kerajaan, malah melibatkan nyawa manusia. Sebagai contoh, kemalangan jalan raya yang berlaku disebabkan oleh pemandunya yang memiliki lesen memandu tanpa ujian atau lulus ujian dengan merasuah pegawai JPJ.
Pemandu itu pada hakikatnya tidak layak atau tidak mahir memandu kenderaan apabila berada di jalan raya. Kesannya bukan sahaja pemandu itu sahaja, malah menyebabkan pemandu atau penumpang kenderaan lain menjadi mangsa kemalangan di atas kecuaian dan ketidakcekapan pemanduannya, apatah lagi kes kemalangan itu melibatkan kematian. Inilah dikatakan jenayah rasuah dianggap pembunuh misteri yang amat sukar dibuktikan di mahkamah.
6) Melemahkan Penguatkuasaan Undang-Undang
Jenayah rasuah juga boleh melemahkan penguatkuasaan undang-undang. Perbuatan jenayah rasuah yang berleluasa dalam kalangan pegawai awam yang bertugas di agensi-agensi penguat kuasa, bermakna pihak kerajaan telah tidak dapat melaksanakan dasar dan undang-undangnya secara berkesan.
Oleh kerana terbabit dengan jenayah rasuah, penguatkuasaan terhadap peraturan dan undang-undang dilaksanakan secara tidak adil dan pilih kasih berlaku. Kesannya orang-orang yang berintegriti dan tidak mahu memberi suapan rasuah atau orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk memberikan suapan rasuah akan menjadi mangsa kepada pihak berkuasa yang korup.
Jenayah rasuah juga menjejaskan kecekapan dan kelicinan Jenayahentadbiran apabila seseorang pegawai awam itu telah biasa disogokkan supaya mempercepatkan sesuatu proses kerja, maka dia sengaja melambat-lambatkan urusan tugas diamanah kepadanya kerana sentiasa mengharapkan memperoleh suapan rasuah daripada orang awam yang berurusan dengannya.
Ada dalam kalangan pegawai awam tidak segan silu dan malu, secara terus terang meminta suapan rasuah daripada orang awam, peniaga atau kontraktor sekiranya mahu urusan mereka dipercepatkan atau mendapatkan layanan istimewa.
Pegawai dan anggota penguatkuasaan undang-undang yang terlibat dengan jenayah rasuah akan mudah “dibeli” oleh penjenayah atau orang-orang yang berkepentingan untuk melakukan perbuatan jenayah seperti sindiket pengedaran dadah, pelacuran, perjudian dan penipuan. Pegawai awam yang korup ini akan menjadi pelindung kepada kegiatan-kegiatan haram mereka tanpa diambil tindakan.
7) Mengancam Keselamatan dan Kestabilan Negara
Seorang anggota pentadbiran atau pegawai awam yang terlibat jenayah rasuah akan sanggup membocorkan rahsia negara, membiarkan pengedaran dadah, penyeludupan senjata api, kebanjiran pendatang haram, pemerdagangan manusia, kegiatan pelacuran, perjudian dan pelbagai aktiviti yang boleh merosakkan nilai-nilai sosial dan keselamatan negara.
Akibatnya akan berlakulah kejadian-kejadian peras ugut, rompakan, penagihan dadah, pembunuhan dan pelbagai bentuk jenayah yang berleluasa tanpa kawalan, mengancam nyawa dan harta benda orang awam.
Jenayah rasuah yang bertapak dalam sistem politik boleh meruntuhkan sistem pemerintahan dan ekonomi sesebuah negara. Jenayah rasuah yang berleluasa dalam kalangan pemimpin kerajaan dan anggota perkhidmatan awam boleh mengakibatkan berlaku perbuatan pilih kasih, ketidakadilan dan penindasan yang mencetuskan keresahan dan kebencian oleh rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.
Berlaku Ketirisan Dan Menjejaskan Pendapatan Negara Ada dua bentuk ketirisan iaitu ketirisan hasil kerajaan dan ketirisan perbelanjaan kerajaan. Ketirisan hasil kerajaan berlaku apabila ada dalam kalangan pegawai awam yang diamanahkan melaksanakan tugas mengutip hasil kerajaan seperti Jabatan Kastam, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah Daerah atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah terlibat dengan jenayah rasuah akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil pendapatan negara.
Hal ini kerana wang hasil kutipan cukai import, cukai jualan, hasil bayaran lesen, kompaun, cukai pendapatan dan pelbagai cukai akan digunakan oleh kerajaan untuk menampung kos pengurusan, pembangunan dan kebajikan rakyat keseluruhannya.
Sekiranya pegawai awam terlibat menerima suapan rasuah dari pengimport atau penyeludup sebagai balasan untuk mengurangkan taksiran cukai yang patut dikenakan atau mengelakkan dikenakan cukai, maka kerajaan mengalami kerugian kerana tidak memperoleh hasil pendapatan yang sepatutnya.
Sebaliknya pegawai awam terlibat dengan jenayah rasuah mendapat untung kerana habuan rasuah. Pengimport atau penyeludup juga mendapat keuntungan lebih besar kerana tidak perlu atau hanya membayar cukai di bawah kadar sebenar yang ditetapkan kerajaan.
Manakala ketirisan perbelanjaan kerajaan pula berlaku dalam bentuk wang negara yang digunakan untuk melaksanakan projek pembangunan atau infrastruktur seperti sekolah, bekalan air bersih luar bandar, bantuan subsidi diesel untuk nelayan, subsidi baja, bekalan elektrik luar bandar dan jalan raya tidak disalurkan atau digunakan sepenuhnya seperti dirancangkan atau ditetapkan dalam tender atau kontrak kerajaan.
Hal ini kerana, ada pegawai kanan yang terlibat dalam urusan tender atau sebutharga projek-projek kerajaan mengambil kesempatan menerima suapan rasuah dari syarikat atau kontraktor yang berjaya. Peruntukan sebenar bagi setiap kontrak atau projek telah berkurangan. – NasionalDaily
Sumber: Malaysia Corruption Watch – MCW
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!