KUCHING – Seorang kanak-kanak maut, tiga lagi termasuk seorang bayi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Kilometer 71 Jalan Sri Aman-Kuching, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mathew Manggie berkata, mangsa maut dikenali sebagai Ally Nazrullah Abdullah, 12, berasal dari Kampung Semariang, Kuching.
Menurutnya, kemalangan membabitkan enam mangsa itu dipercayai berlaku sekitar jam 3.39 petang.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan terbabit telah terbabas ke kiri jalan sebelum ia terbalik beberapa kali.
“Akibat kemalangan itu, seorang mangsa lelaki telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik, manakala tiga mangsa kecederaan parah dan dua cedera ringan,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Mathew, kemalangan terbabit tidak melibatkan kenderaan lain dan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuching hendak ke Sibu.
Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 5.32 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan berkenaan.
“Mangsa yang maut telah diserahkan kepada kepada pihak polis yang berada di lokasi manakala tiga mangsa yang parah telah dibawa ke hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.
“Dua mangsa yang mengalami kecederaan ringan telah diberikan rawatan oleh pihak bomba yang hadir di lokasi kejadian,” tambahnya.
Sementara itu, dalam kemalangan berasingan di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) Gua Musang-Kuala Lumpur dekat Kuala Lipis, dua maut apabila keret Perodua Kancil dinaiki mangsa terbabas.
JBPM Pahang menerima panggilan kecemasan pada jam 11.40 pagi mengenai kemalangan itu dan anggota dari BBP Kuala Lipis seramai enam orang telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik panggilan diterima bersama jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS.
PBK II Jumardin Hadi selaku Komander Operasi melaporkan, sebaik jentera Bomba tiba di lokasi kejadian yang sejauh 40 kilometer itu, terdapat sebuah kereta jenis Perodua Kancil telah terbabas dan terbalik.
Terdapat dua mangsa telah tersepit dalam kenderaan itu dan kedua-duanya telah dikeluarkan dari kenderaan oleh pasukan Bomba.
Namun, pegawai perubatan KKM yang memeriksa mangsa telah mengesahkan kedua-duanya telah meninggal dunia di lokasi kejadian. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!