Prestasi MN Holdings akan disokong buku pesanan RM1.75 bilion

KUALA LUMPUR – Pakar penyelesaian pembinaan dan kejuruteraan utiliti infrastruktur, MN Holdings Bhd terus disokong oleh buku pesanan kukuh bernilai kira-kira RM1.75 bilion yang dijangka menyumbang kepada kelestarian pendapatan syarikat pada masa hadapan.

Prestasi masa depan kumpulan itu dipacu oleh pelaburan berterusan dalam pembinaan pusat data dan inisiatif peralihan tenaga yang semakin berkembang.

Prospek permintaan terhadap infrastruktur kuasa juga kekal menggalakkan, disokong oleh pemangkin utama seperti pengembangan grid dan elektrifikasi yang terus membuka peluang baharu kepada syarikat.

Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh dalam satu kenyataan berkata, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara cekap sambil meneroka peluang pertumbuhan baharu.

“Disokong oleh buku pesanan kami kira-kira RM1.75 bilion, kami terus fokus untuk melaksanakan projek kami dengan cekap sambil mengejar peluang baharu yang melengkapi kepakaran teknikal dan objektif pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya.

Keupayaan syarikat dalam melaksanakan projek turut dibuktikan menerusi prestasi kewangan kukuh bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 (S3 TK2026).

Bagi suku berkenaan, hasil syarikat melonjak 57 peratus tahun ke tahun kepada RM200.07 juta berbanding RM127.42 juta yang dicatatkan pada S3 TK2025.

Seiring peningkatan hasil, keuntungan selepas cukai (PAT) turut meningkat 28 peratus kepada RM21.33 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 41 peratus kepada RM31.94 juta berbanding RM22.62 juta pada tempoh sama tahun lalu

Prestasi lebih kukuh itu didorong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan pencawang yang muncul sebagai penyumbang terbesar kepada kumpulan.

Segmen berkenaan mencatatkan hasil sebanyak RM176.91 juta atau mewakili 88 peratus daripada jumlah hasil keseluruhan suku berkenaan.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 82 peratus berbanding RM97.09 juta yang direkodkan pada S3 TK2025.

Sementara itu, segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah menyumbang sebanyak RM23.17 juta kepada hasil kumpulan.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026, MN Holdings merekodkan hasil kumulatif sebanyak RM657.72 juta, meningkat 85 peratus berbanding RM356.01 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu turut dipacu oleh segmen kejuruteraan pencawang yang menyumbang RM586.24 juta kepada jumlah hasil keseluruhan.

Dari segi keuntungan kumulatif sembilan bulan, PBT meningkat 92 peratus kepada RM95.52 juta, manakala PAT melonjak 87 peratus kepada RM68.10 juta.

Selepas mengambil kira pelarasan item kewangan termasuk kerugian rosot nilai, PBT dinormalisasikan kumpulan berada pada RM37.18 juta bagi S3 TK2026 dan RM108.40 juta bagi tempoh sembilan bulan berkenaan.

Mengulas prestasi itu, Clement berkata, “Prestasi kami pada S3 TK2026 mencerminkan pelaksanaan berterusan projek kejuruteraan pencawang utama dan kekuatan keupayaan operasi kami.”

Beliau berkata, pencapaian pendapatan yang kukuh itu turut mencerminkan pelaksanaan projek utama yang dipercepatkan, peningkatan kecekapan operasi serta keupayaan syarikat untuk terus mengembangkan kapasiti kejuruteraan.

Kedudukan kewangan syarikat juga kekal teguh dengan jumlah ekuiti kumpulan meningkat kepada RM357.85 juta setakat 31 Mac 2026.

Pada masa sama, lembaran imbangan kumpulan terus diperkukuhkan dengan rizab tunai dan setara tunai berjumlah RM280.34 juta.

Kedudukan tunai yang sihat itu menyediakan asas kewangan kukuh bagi memastikan kelancaran operasi syarikat serta menyokong peluang pertumbuhan masa depan.

Kekuatan kewangan berkenaan turut memberi fleksibiliti kepada MN Holdings untuk meneruskan pelaksanaan projek secara berdisiplin sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *