BERITA UTAMA

Apa hala tuju UMNO Selangor?

SHAH ALAM – Ketika Majlis Iftar Ramadan dan perasmian secara serentak persidangan Cawangan UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menekankan keperluan untuk parti kembalikan kegemilangan di Selangor.

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, UMNO mencatatkan prestasi terburuknya dalam sejarah apabila gagal menang satu pun kerusi dipertandingkan.

“Kemudian kita tiba ke Pilihan Raya Negeri (PRN). Cuma menang dua kerusi. Kalah teruk lagi.

“Selepas UMNO kalah teruk PRN Selangor, saya nyatakan ini adalah amaran terakhir untuk UMNO negeri. Kalau keputusan PRN itu belum celikkan UMNO Selangor, tak ada apa yang boleh celikkannya.

“Sekarang ini sudah lapan bulan berlalu selepas PRN, masih tak ada apa-apa. Post mortem mendalam? Tak ada. Strategi baru tawan hati rakyat? Tak ada,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Oleh itu, Tengku Zafrul berkata, kalau pandangannya mengenai keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor tidak diterima, beliau kira lebih baik tumpukan kepada membantu parti di peringkat pusat dan di bahagian.

Jelasnya, apa pandangannya mengenai cara mengembalikan kegemilangan UMNO Selangor ialah, pertama, perlu laksana kajian sikap yang ikhlas melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat Selangor.

Kedua, kata beliau, memodenkan operasi organisasi yang kos efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea dari akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, menggunapakai data dan analisa dengan tepat.

“Ketiga, mencari pelapis dengan hati yang terbuka. Ini penting kerana akhirnya, organisasi UMNO Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan.

“Keempat, rangka kerjasama yang win-win dengan rakan-rakan kita di negeri Selangor.

“Kelima, dan yang paling penting, kita perlu terapkan budaya politik baharu – baik budaya intelektual, fokus kepada solusi dan dasar, buang cah keting,” katanya.

Ini kerana, kata Tengku Zafrul, jika kepimpinan tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi sekalipun, akhirnya parti akan kekal tanpa kuasa.

“Saya masih komited dengan UMNO Bahagian Kota Raja dan UMNO Selangor. Kerana saya yakin kita semua berkongsi impian yang sama, iaitu untuk melihat UMNO Selangor kembali relevan dan dihormati rakyat Selangor.

“Jalan itu tidak mudah. Kita perlu bekerja keras. Tetapi inilah resam perjuangan dan impian yang wajib dilaksanakan,” kata beliau. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *