IPOH – Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam insiden langgar lari mengorbankan dua beradik di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Taman Desa Salak dekat Sungai Siput pada Jumaat semalam direman selama empat hari.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 50-an itu dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 10.30 pagi ini bagi membenarkan permohonan polis meneruskan siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, tempoh reman bermula pada Sabtu sehingga Selasa ini.
Menurut beliau, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sinar Harian melaporkan polis berjaya menahan suspek yang bekerja sebagai kontraktor itu pada jam 1.20 tengah hari di sebuah ladang kelapa sawit sekitar Salak.
Tangkapan dilakukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Salak selepas suspek melarikan diri dari tempat kejadian dan gagal membuat laporan polis mengenai kemalangan terbabit.
Dalam kejadian jam 7.12 pagi itu, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru.
Suspek yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Ipoh didapati memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba menyebabkan berlaku pelanggaran dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
Nahas itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!