BERITA UTAMA

Syed Abu Hussin sedia berdepan sebarang kemungkinan berlaku

SUNGAI PETANI – Berbeza dengan pandangan lima sahabatnya yang lain, sekurang-kurangnya Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyerahkan nasibnya kepada parti.

Katanya, sebagai orang politik, beliau perlu sentiasa bersedia dengan apa juga kemungkinan yang bakal berlaku termasuk mengenai masa depannya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Setakat ini, saya masih menunggu surat berhubung pindaan perlembagaan parti bagi pelucutan keahlian parti untuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak serta bertentangan dengan parti atau musuh.

“Nak tengok surat itu dahulu, nak tengok apa jawapan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebagai ahli politik yang hanya bukan berkhidmat pada waktu tertentu sahaja, kita bersedia apa juga kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering di Taman Rekreasi Bandar Perdana, Sungai Petani, pada Sabtu.

Pada Selasa, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu yang dipinda selepas diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas (EGM) 2 Mac lalu.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kelulusan itu membolehkan parti mengambil langkah seterusnya, iaitu mengosongkan enam kerusi Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac pula, seorang ADUN Bersatu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *