BERITA UTAMA

Kenyataan MCCBCHST keliru, timbul suasana tidak harmoni

KUALA LUMPUR – Tidak wajar Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) menganggap pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sebagai tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar berkata, kenyataan MCCBCHST itu jelas mengelirukan dan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Jelas beliau, untuk memahami isu itu secara tuntas, semua pihak perlu merujuk kepada Fasal (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan, yang mana selaras dengan peruntukan tersebut Mahkamah Syariah telah ditubuhkan melalui Akta/Enakmen/Ordinan di Negeri-Negeri.

“Bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum Syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang beragama Islam dan hanya berkenaan dengan semua perkara yang termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan sebagaimana dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan peruntukan ini, Parlimen telah memperbuat Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi laporan Malay Mail pada Selasa lalu, MCCBCHST dilaporkan beranggapan cadangan pindaan Akta 355 tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan atas alasan kesalahan jenayah berkaitan sudah termasuk dalam undang-undang jenayah sedia ada sebagaimana yang disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Dr. Na’im berkata, bBerdasarkan butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan, dua perkara utama yang telah digariskan.

Pertama, kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Kedua, bidang kuasa mengenai hukuman bagi kesalahan yang diperuntukan dalam undang-undang negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan.

“Ini bermakna, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang di Negeri-Negeri bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

“Walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri, perlu difahami hukuman bagi kesalahan yang diperuntukan dalam undang-undang negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965,” katanya.

Kata beliau, cadangan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bertujuan meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dengan menaikkan kadar hukuman yang pada masa ini hanya terhad kepada pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Jelasnya lagi, kadar hukuman itu ditetapkan melalui pindaan yang dibuat pada tahun 1984 melalui Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) (Amendment) Act 1984 [Act A612].

“Sejak pindaan kali terakhir terhadap had maksimum bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah pada tahun 1984 tersebut, kini telah hampir 40 tahun berlalu, namun kadar hukuman sedia ada yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak lagi pernah dipinda.

“Kadar hukuman yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tersebut didapati sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa.

“​Cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan Badan Perundangan Negeri untuk mewujudkan kesalahan dan hukuman berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ini kerana, kata Dr. Na’im lagi, Badan Perundangan Negeri hendaklah tertakluk kepada bidang kuasa perundangan yang diperuntukan di bawah Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, apa jua cadangan pindaan dibuat kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telah pun diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Badan Perundangan Negeri.

Menurut beliau, cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu dibuat melalui sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan di negeri-negeri dengan mengambil kira semua sudut pandang termasuk aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Apa jua cadangan pindaan dibuat kepada Akta ini kelak pastinya adalah dalam ruang lingkup dan kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, berdasarkan titah Sultan Selangor dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-70 (MKI) pada 28 Ogos 2023, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang akan turut memperhalusi cadangan pindaan kepada Akta ini.

“Oleh itu, semua pihak digesa tidak memberikan sebarang kenyataan bersifat ‘speculative’ dan ‘pre-emptive’ berhubung dengan cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ini, tatkala ia belum dibentangkan di Parlimen. Setelah dibentangkan, semua Ahli Parlimen akan diberikan ruang yang secukupnya bagi membahaskan berkenaan pindaan ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak menjunjung tinggi titah Sultan Selangor pada 29 Disember 2023 agar rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

“Semua pihak dinasihatkan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan mahupun mencetuskan kegusaran kepada orang awam.

“Saya menegaskan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah dan juga undang-undang Syariah di negara ini berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *