Tajuk Utama

    Wirawati Putra mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong lucut kerakyatan N. Ganesparan

    KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia petang ini, menyerahkan satu memorandum memohon ampun perkenan Tuanku Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melucutkan kewarganegaraan individu pengkhianat bernama Ganesparan Nadaraja.

    Ketuanya, Nurhafizah Jamalludin yang mengetuai pergerakan itu menyerahkan memorandum berkenaan di pintu masuk Istana Negara pada jam 3 petang tadi.

    Tegasnya, kebiadapan N. Ganesparan mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Institusi Diraja dan polis sangat tidak wajar dan layak dilucutkan taraf kewarganegaraan.

    Kata beliau, video penghinaan itu yang berdurasi 2.27 saat tular sejak 26 Mac lalu dan telah ditonton orang ramai di seluruh dunia.

    “Ungkapannya amat biadab dan kurang ajar serta tidak hormat kepada prinsip Rukun Negara.

    “Penghinaan ini adalah satu penderhakaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan negara.

    “Ia jenayah yang amat berat. Saya percaya jika hal ini berlaku di negara Thailand, bukan setakat kerakyatannya dilucutkan, tetapi sudah pastinya dia diambil tindakan berat dan dihukum bunuh,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum di pintu masuk utama Istana Negara petang ini.

    Turut bersama, Naib Ketua Wirawati Putra, Datin Munirah Abdul Manap dan barisan kepimpinan sayap Putra.

    Menurut Nurhafizah, beliau bagi pihak generasi muda seluruh negara memohon baginda Yang Di-Pertuan Agong melucut atau menggugurkan kerakyatan lelaki terbabit supaya dengan tindakan itu, martabat negara tidak tercemar dan prinsip Rukun Negara terpelihara.

    Generasi muda, katanya, perlu dicontohi dengan perkara yang mengangkat kemuliaan Institusi Diraja dan martabat Rukun Negara serta Perlembagaan.

    “Tindakan N. Ganesparan pastinya memberi kesan negatif yang boleh mengganggu-gugat serta pengaruh kepada generasi muda untuk wujudnya sikap negatif antara kaum.

    “Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana Ganesparan Nadaraja rosak keharmonian sesama kaum.

    “Kami percaya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah sebelum ini – mana-mana pihak yang membuat perkara buruk akan diambil tindakan akan meneliti dengan cermat memorandum dari kami ini,” katanya.

    Justeru, beliau memohon ampun perkenan Kebawah Duli Tuanku agar disegerakan tindakan itu ke atas Ganesparan Nadaraja. – NasionalDaily

    Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *