PUTRAJAYA – Kira-kira 10,000 dijangka membanjiri Bulatan Dataran Putra, di sini petang esok untuk berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Majlils Iftar Madani itu, orang ramai akan berbuka puasa secara santai dan duduk bersila dengan Perdana Menteri, yang mana sebanyak 10,000 pek juadah berbuka serta bubur lambuk Kampung Baru disediakan.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), majlis esok itu diadakan sempena cuti Nuzul Quran bermula jam 5.30 petang hingga 8 malam.
Program itu anjuran bersama Jakim dan Perbadanan Putrajaya serta kerjasama dengan 14 agensi Agama Persekutuan, rakan strategik termasuk Tenaga Nasional Berhad, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Sekretariat Dakwah Korporat Jakim.
“Objektif majlis ini untuk merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki, sekaligus dapat bersama berbuka puasa dengan Perdana Menteri.
“Selain itu, ia membuka ruang kepada agensi kerajaan bersama Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat, di samping menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini.
“Konsep program ini adalah bertepatan dengan gagasan Malaysia Madani oleh Perdana Menteri yang antara lain menekankan nilai hormat, ihsan dan kebersamaan sesama ahli masyarakat,” kata kenyataan itu hari ini.
Katanya lagi, hadirin yang bakal hadir ialah Jemaah Menteri, pengurusan tertinggi kerajaan, GLC, belia, orang awam, kanak-kanak dan 180 asnaf di Wilayah Pesekutuan.
Bagi memastikan keselesaan orang awam, shuttle bas disediakan di checkpoint Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra dan kenderaan boleh diletakkan di kawasan parkir di Suasana dan CIMB Presint 2 (Selatan) serta di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri (B13).
Acara menarik ialah penampilan istimewa persembahan nasyid daripada Kumpulan Zawfan dan Awla, Tazkirah Santai Ustaz Norazam Bahadur dan Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee dan Tausiyah Ramadan Ustaz Abdul Hadi Bakri, Ketua Sekretariat Duat Al Falah.
Majlis Iftar Madani ini juga dapat menarik kehadiran pelancong asing yang hendak menimba pengalaman menikmati juadah berbuka puasa di negara ini.
Bagi memeriahkan majlis tersebut, segenap lapisan masyarakat dijemput hadir beramai-ramai bersama keluarga. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!