SARATOK – Tidak sampai 10 jam selepas dilaporkan hilang, seorang murid perempuan tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Engkudu ditemui semula dalam keadaan selamat sekitar jam 3.24 petang tadi.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, mangsa dikenali sebagai Neelofa Entira Entegang, 11, dijumpai dalam kawasan kebun.
“Pasukan operasi dan menyelamat (SAR) melaporkan telah mendapat maklumat daripada penduduk kampung bahawa mangsa telah dijumpai dalam keadaan selamat.
“Mangsa telah dijumpai sekitar jam 3.24 petang di sebuah kebun dalam jarak satu kilometer dari SK Engkudu dan seterusnya dibawa pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi.
Neelofa Entira berasal dari Rumah Bundak, Sungai Anak, Sebetan, dekat sini.
Muhammad Rais berkata, pasukan SAR mengambil mangsa di lokasi dan kemudian menyerahkannya kepada keluarga sebelum dihantar ke Hospital Saratok untuk pemeriksaan lanjut.
Berikutan penemuan itu, katanya, SAR yang telah dilancarkan sejak pagi tadi oleh agensi penyelamat serta penduduk kampung ditamatkan sekitar jam 4 petang tadi.
Terdahulu, menurut maklumat daripada Pembantu Pengurusan Murid sekolah terbabit, sekitar jam lebih kurang 5.50 pagi bertempat di SK Engkudu, pelajar yang dikenali Neelofa Entira Entegang dilihat kali terakhir di dalam Kelas Tahun 5 sementara menunggu sarapan pagi.
Selang lima minit selepas itu, katanya pelajar terbabit telah tiada tanpa memberitahu ke mana dia pergi.
Pengadu iaitu bapa kepada mangsa tidak tahu ke mana anaknya pergi sehingga laporan dibuat di balai polis berhampiran.
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!