BERITA UTAMA

Ruang berfikir, berkarya di negara ini perlu kebebasan lebih luas – PM

KUALA LUMPUR – Ruang untuk berfikir dan berkarya di negara ini menuntut satu suasana kebebasan yang lebih luas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia kerana Malaysia merupakan sebuah negara Merdeka, bukannya dijajah sehingga ada sekatan atau rasa terkongkong untuk mana-mana pihak menghasilkan karya mereka.

Katanya, ruang yang diberikan itu termasuklah kebebasan untuk melakukan kritikan politik, mencurah idea kepada masyarakat serta berbicara perihal sejarah.

“Harus ada ruang, tapi bagi sang penguasa, saya pun kurang senang (kritikan), jadi harus ada kebijaksanaan dan kesabaran, kalau dunia ini terlalu mengongkong, karya akan terbantut walau kita beri apa sagu hati dan hadian sekalipun.

“Curahan sasterawan, seniman itu juga tidak boleh diukur dari sudut terbatas kerana itu (karya) adalah keupayaan dia mencurahkan pemikiran gaya bebas, jadi mesti beri ruang,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu bertemakan Memperkasakan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Mohd Anuar Rethwan.

Perdana Menteri berkata, beliau juga mahu sektor pendidikan negara, baik pada sesi persekolahan atau pengajian tinggi untuk turut sama memberi lebih ruang kepada pelajar untuk berkarya.

“Saya beritahu Fadhlina dan Menteri KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) bahawa sekolah dan universiti ini patut diberi ruang kerana menimba ilmu ini juga bermakna melatih pemikiran kritis mereka,” katanya.

Anwar turut mengambil contoh boria Pulau Pinang yang dahulunya dipersembahkan dengan alunan muzik segar diiringi pengisian mesej yang sangat kritis menyentuh aspek masyarakat, budaya termasuk pemimpin politik.

“Namun sebaik sahaja boria itu dijadikan corong budaya yang terbatas, corong propaganda, ia membosankan, tak lagi dapat menghasilkan boria tradisional yang sangat indah dan semula jadi yang diterima baik pendengar,” katanya.

Anwar turut menggesa DBP dan pihak-pihak berkaitan untuk memperhebat usaha dan kempen bagi menggalakkan generasi masa kini suka membaca. – BERNAMA

 

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

 Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *