KUALA LUMPUR – Fasa peralihan monsun dijangka bermula Jumaat dan berterusan sehingga Mei ini, kata kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia).
Menurut kenyataan itu, permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 yang bermula sejak November tahun lalu.
Ketika fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
Kejadian itu berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah, selatan dan tengah Sarawak.
Keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Dengan bermulanya fasa peralihan monsun, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!I