TERENGGANU – Pas Terengganu tidak boleh menerima jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung bayaran royalti petroleum yang disifatkan sebagai mengelirukan.
Ketua Penerangannya. Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Anwar tidak menjawab dengan tepat pertanyaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai bayaran itu yang juga dikenali sebagai wang ihsan.
“Saya mendengar dengan penuh teliti respons balas Perdana Menteri kelmarin. Penuh dengan kekeliruan, mengecewakan dan menambah luka rakyat Terengganu yang menanti hak mereka dikembalikan sepenuhnya.
“Anwar kelihatan keliru antara Pemberian Persekutuan dan Belanja Pembangunan dengan hak royalti Terengganu apabila mencampurkan kedua-dua dana tersebut sebagai alasan untuk tidak melunaskan wang ihsan.
“Pemberian Persekutuan dan Belanja Pembangunan seperti yang disebut Perdana Menteri adalah kewajipan asasi setiap pemerintah di Persekutuan terhadap mana-mana kerajaan negeri, manakala royalti pula bayaran khas bagi negeri-negeri pengeluar minyak. Kedua-duanya jelas sangat berbeza,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Menurut Muhammad Khalil, mencampurkan dua pemberian berlainan atas satu nama atau perkara sama adalah tidak bertepatan dengan sebuah kerajaan yang ‘hidup’ atas nama reformasi dan menjunjung semangat perlembagaan.
Kata beliau, perkara itu juga diakui oleh rakyat Terengganu, mereka menilai secara sedar dan waras jawapan balas penuh keliru Datuk Seri Anwar.
“Rata-rata mereka tetap menuntut supaya dana royalti minyak termasuk yang masih berbaki kira-kira RM700 juta bagi 2023 dilunaskan dan bayaran tahun ini disalurkan mengikut jadual.
“Ramai juga rakyat mendesak supaya kerajaan negeri mengadakan solat hajat bagi mempermudahkan urusan pembayaran royalti petroleum.
“Justeru, Pas Terengganu sekali lagi mengingatkan Kerajaan Persekutuan mendengar rintihan dan desakan 1.2 juta rakyat Terengganu yang saban hari menanti hak mereka dikembalikan, usah zalimi mereka,” ujar beliau. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!