‘Dunia sudah cukup melihat keadaan ngeri perang di Gaza’ – Guterres

RAFAH – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menegaskan dunia sudah cukup melihat keadaan ngeri yang meluas akibat peperangan di Semenanjung Gaza.

Beliau sekali gus merayu gencatan senjata dilaksanakan segera untuk membenarkan lebih banyak bantuan dibawa masuk ke kawasan yang sedang dilanda krisis kemanusiaan semakin meruncing itu.

“Rakyat Palestin di Gaza – kanak-kanak, wanita, lelaki – terus terperangkap dalam mimpi ngeri tanpa henti,” katanya ketika melawat lintasan Rafah di sebelah Mesir, semalam.

Deretan trak menanti di lintasan itu bersama muatan bekalan bantuan untuk dibawa masuk ke Gaza, namun penduduk di semenanjung itu terus dibelenggu masalah kebuluran dan kelaparan.

“Saya membawa suara sebahagian besar dunia yang sudah cukup melihat komuniti dimusnahkan, kediaman dirobohkan, dan keseluruhan keluarga serta generasi dihapuskan,” kata Guterres.

Beliau mengulangi kenyataan bahawa tiada justifikasi untuk serangan yang dilakukan oleh Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

“Begitu juga tiada justifikasi untuk hukuman secara kolektif dilakukan ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Guterres turut menyifatkan keadaan deretan trak membawa muatan bantuan tersekat di pintu lintasan itu sedangkan krisis kebuluran sedang mencengkam begitu ramai rakyat Palestin di Gaza, sebagai satu isu moral.

Beliau menekankan sudah lebih daripada tiba masanya untuk gencatan senjata dilaksanakan segera demi kemanusiaan, selain merayu Israel supaya membolehkan akses secara menyeluruh serta tidak terhalang kepada bantuan kemanusiaan di seluruh Gaza. – AFP

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *