PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Dalam kenyataan kepada media hari ini, kementerian itu memaklumkan kesediaannya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kematian seorang pelajar Kolej vokasional di Sabah semalam.
Kata kenyataan itu, kementerian menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan.
“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kementerian juga telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.
“Sokongan psikososial turut ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” menurut kenyataan itu.
Semalam, pelajar berusia 17 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional di Sabah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dr. Rohan Shah Ahmad dilapor berkata, pihaknya percaya punca kejadian akibat perselisihan faham antara pelajar terbabit dengan pelajar lain yang menghuni asrama berkenaan.
Beliau berkata, susulan itu 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!