BERITA UTAMA

Terpaling hero, Dr. Akmal tempelak Nurul Islam

KUALA LUMPUR – Macam mana umat Islam tidak dipandang rendah apabila tidak mampu untuk bersatu walaupun disaat agama dihina kerana perasaan iri hati?

Demikian luahan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh menempelak bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff yang menuduhnya sebagai ‘terpaling hero’ dalam isu memboikot kedai serbaneka KK Mart.

Menurut Exco Kerajaan Melaka, dakwaan pemimpin Pas itu konon beliau mahu dilihat lebih baik dari semua orang ataupun dalam bahasa mudah dirinya sahaja terpaling baik adalah tanggapan salah.

Katanya, apabila Pemuda UMNO membantah di peringkat awal walaupun ketika itu semua, termasuk Pas senyap sahaja, tetapi sayap parti itu tetap bantah walaupun diasak kiri dan kanan.

“Kita teruskan membantah dengan membuat laporan polis di seluruh negara yang akhirnya berjaya membuka mata rakyat untuk bersama dalam isu ini.

“Tetapi, bila kita lancarkan boikot, kita pula dituduh terpaling hero. Salahkah saya untuk buat kempen boikot?

“Kempen yang menyedarkan sesama kita mengenai perlu adanya tekanan yang keras untuk memberi pengajaran kepada mereka yang menghina agama Islam. Salahkah saya cuba memberi peringatan pentingnya kita perlu jayakan boikot ini setiap hari?,” soalnya menerusi hantaran terbaharu di Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nurul Islam yang mendakwa, pimpinan DAP sibuk mengajak rakyat jangan boikot, konon hendak membina jambatan untuk selesai isu sensitif.

Manakala pemimpin Parti Amanah pula dengan selamba mengajak orang pergi KK Mart dan tidak boikot.

“Ketua pemuda UMNO, Akmal Salleh pula sibuk menunggang isu KK Mart ini. Hari-hari buat video konon terpaling hero ajak orang boikot KK Mart.

“Kenapa aku kata menunggang? Macam aku sebut kat atas itulah, rakyat Malaysia beragama Islam memang dah mula boikot tanpa kau suruh. Lagipun kerja boikot ini orang awam macam kami bolehlah. Sebab kuasa membeli saja kami ada.

“Kau tu (Akmal) ada kuasa memerintah tau. Kerajaan bawah kau. Apa yang kau nak kena buat adalah sebagai sebahagian dari Kerajaan Madani, bukan sahaja nak hukum KK Mart, tetapi untuk cari penyelesaian jangkamasa panjang untuk isu penghinaan terhadap Islam ini. Supaya perkara sebegini tidak akan berlaku dah,” kata Nurul Islam.

Menurut Dr. Akmal, apa yang dilakukan kepada KK Mart sama seperti kempen memboikot barangan Israel yang dibuat sayap parti itu sebelum ini dan pemimpin lain.

“Atau kempen boikot ini hanya boleh dibuat oleh pihak kamu (Pas) baru dianggap betul dan bukan terpaling hero?

“Persoalan dibangkitkan pemimpin Pas itu kenapa saya tidak mencadangkan untuk mengubal undang-undang? Cadangan itu ada saya utarakan selepas laporan polis dibuat pada hari pertama.

“Yang mana kita minta kes ini disiasat di bawah seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan mencadangkan agar akta ini boleh digubal untuk hukuman yang lebih berat, tetapi saya ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pengubalan undang-undang di bawah bidang kuasa Parlimen,” katanya.

Beliau bersyukur, kempen yang Pemuda UMNO jalankan itu di peringkat awalnya telah membuka mata ramai orang bahawa kali ini tekanan keras perlu dilakukan dan perlunya peranan semua pihak untuk bersama menjayakan kempen itu.

“Mungkin dia (Nurul Islam) terlupa saya ini adalah ADUN, nak gubal undang-undang adalah Ahli Parlimen di dalam dewan Parlimen, tetapi syukur dengan adanya kempen boikot dan tekanan di peringkat awal yang telah kami lakukan, membuatkan Ahli Parlimen dalam dewan sedar mengenai isu ini perlu diatasi dengan lebih serius.

“Tapi, tak apalah, siapa yang terpaling juara dan terpaling bagus bukan isu, saya hanya mahukan maruah dan kesucian agama Islam ini dipelihara. Sebab itu berulang kali saya katakan, ini bukan soal politik, ini soal memelihara kesucian agama Islam kita dan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam memeliharanya.

“Jika kamu nak mengatakan saya acah-acah hero ataupun terpaling hero dan kamu tidak suka, saya minta maaf, tetapi demi Allah, semua ini tidak pernah difikirkan dalam minda ini, yang ada hanyalah mahu melihat maruah dan kesucian agama Islam ini dipelihara,” tegasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, jika Nurul Islam hendak dikatakan paling bagus dan terpaling cakna sekali ambillah.

“Ya, kamu paling bagus. Ya, kamu terpaling ke depan. Ya, kamu terpaling semuanya.

“Yang penting bagi saya, agama Islam tetap akan saya pertahankan dengan nyawa saya. Bagi saya, ini bukan soal siapa dapat keuntungan politik, ini soal bagaimana kita mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin Islam terutama ketika agama kita dihina.

“Ambillah semua keuntungan politik itu kepada kamu dan parti yang kamu sokong kerana saya tidak mahu satu pun. Hanya satu permintaan saya, jangan kacau saya untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan tuduhan yang tidak elok. Husnuzonkan lebih baik,” katanya.

Beliau mengajak semua pihak lupakan perbezaan warna politik ketika Pemuda UMNO bersama mempertahankan agama Islam bangsa dan tanah air. – NasionalDaily

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *