Pasir Puteh – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan berjaya menahan 23 kru dan tekong warga Vietnam serta merampas dua bot milik mereka.
Pengarahnya, Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, kesemua mereka ditahan pada kedudukan 160 hingga 162 batu nautika dari muara Tok Bali, Pasir Puteh menerusi Op Damai, Op Naga dan Op Tiris pada Sabtu lalu.
Katanya, hasil serbuan pihaknya turut merampas 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta 2,500 liter diesel yang bernilai hampir RM3 juta.
“Kedua-dua bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan jam 11 pagi sebelum bot pertama ditahan lebih kurang 11.28 pagi diikuti bot kedua pada 12.14 tengahari.
“Kedua bot berkenaan pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguatkuasa Maritim Malaysia memberikan arahan untuk menghentikan bot,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh.
Ujarnya, proses membawa balik bot tahanan mengambil masa lebih 35 jam sebelum kedua-dua bot tiba di Jeti Maritim Kelantan jam 11 malam kelmarin.,
“Bot-bot yang disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Kesemua kru juga akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!