BERITA UTAMA

Pembangkang perlu ketepi ego, contohi langkah PH meterai MoU bersama kabinet Ismail Sabri

LABUAN – Pembangkang dinasihatkan supaya mengetepikan ego bagi menyelesaikan masalah peruntukan demi kepentingan masyarakat yang telah mengundi mereka.

Gesaan itu diutarakan Ahli Parlimen Labuan yang juga wakil rakyat dari parti Bersatu, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman mengenai isu melibatkan pengagihan peruntukan.

Suhaili turut merujuk kepada tindakan yang pernah dilakukan parti Pakatan Harapan (PH) memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoU) pada 2021.

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik itu ditandatangani tepatnya pada 13 September melibatkan PH bersama kerajaan persekutuan.

Hal ini bagi memastikan segala perbezaan politik dapat diketepikan antara kerajaan yang ketika itu dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dengan PH.

MoU tersebut merangkumi Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Jelas Suhaili, pembangkang tidak boleh mengabaikan kepentingan pengundi mereka dengan berulang kali menggunakan alasan sama.

“Sekarang ini bulan Ramadan dan tidak lama lagi Hari Raya di mana wakil rakyat perlu berdepan dengan masyarakat yang telah mengundi mereka.

“Adakah kita akan memberi mereka cerita yang sama (tiada peruntukan)? Orang sudah bosan mendengar alasan seperti ini,” katanya memetik laporan Majoriti.

Suhaili antara seorang Ahli Parlimen pembangkang yang mengisytiharkan sokongannya kepada kepimpinan kerajaan perpaduan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Suhaili turut mengakui pindaan diluluskan Bersatu baru-baru ini tidak akan menghalang lebih ramai Ahli Parlimen PN untuk menyokong Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa penyataan sokongan oleh pembangkang itu bukan sahaja boleh berlaku di peringkat Parlimen, tetapi juga Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain Suhaili, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang turut melakukan tindakan sama ialah Syed Abu Hussin (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Dr Zulkaperi Hanapi (Tanjong Karang). – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *