PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada umat Islam mengenai pentingnya menghayati semangat Ramadan dengan memperkukuh disiplin diri dan menyantuni golongan kurang bernasib baik.
Perdana Menteri berkata, adalah penting untuk mereka menghayati madrasah Ramadan sebagai wahana menyucikan jiwa dan menghentikan fitnah serta kerja sia-sia dan yang tidak membawa manfaat, selain menggarap “the larger ethical question of Ramadan” iaitu mengenai kebebasan, keadilan dan kesaksamaan.
“Saya berkongsi hasil kunjungan rasmi ke Jerman baru-baru ini dan Australia sebelumnya betapa usaha ini adalah untuk terus memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia.
“Juga sebagai upaya untuk terus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang baik dan kondusif demi pembangunan ekonomi negara ini, selain mempererat persahabatan Malaysia bersama kedua negara tersebut.
“Sekiranya diberikan pilihan, saya memilih untuk tidak melakukan kunjungan ke luar negeri kerana saya ke sana bukan ‘makan angin’ dan tentunya memenatkan,” katanya dalam ucapan sempena perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Namun, menurut Anwar, memahami keadaan negara yang telah ketinggalan dalam beberapa lapangan penting seperti AI, peralihan tenaga dan transformasi digital, maka langkah itu harus dilakukan bagi menyatakan jalan kebijakan serta kesediaan Malaysia untuk diberi ruang dalam lapangan tersebut.
Ujar beliau lagi, pentas luar negeri itu juga dimanfaatkan sebaiknya dalam mengenengahkan pendirian dan prinsip Malaysia, terutama isu yang mendesak saat ini berkenaan nasib warga Palestin yang terus dizalimi setiap hari.
“Mesej Malaysia konsisten bahawa kita menolak sebarang bentuk keganasan terutama kepada kanak-kanak, wanita, gencatan senjata serta merta dan mempermudah serta menyemarak bantuan kemanusiaan,” katanya.
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!