Kalendar sekolah bermula Januari pada 2026 – KPM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak tahun 2022 susulan pandemik Covid-19.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, pihaknya sudah memulakan usaha merancang kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

“Kawalan dan perancangan ini dibuat bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun 2026 dapat bermula pada bulan Januari sehingga Disember seperti sebelum ini.

“Pada masa sama, kementerian perlu memastikan penyediaan kalendar akademik adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (penggal, hari dan cuti sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik tidak kurang daripada 190 hari,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) di sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini, yang bertanyakan kepada Menteri Pendidikan sama ada kementerian berhasrat mengembalikan semula kalendar persekolahan sebagaimana terdahulu bermula sesi baru Januari sehingga Disember.

Pada November 2021, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun berkenaan dilanjutkan sehingga Februari 2022, sekali gus menyaksikan sesi persekolahan bagi tahun baharu itu bermula pada Mac.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, seperti penyediaan kalendar akademik tahun sebelum ini, KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.

“Iaitu pihak kesatuan atau persatuan keguruan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah untuk mendapatkan maklum balas berhubung penyediaan draf Kalendar Akademik Tahun 2025 dan draf Kalendar Akademik Tahun 2026 sebelum diangkat untuk pewartaan,” katanya.

Jelasnya lagi, KPM juga akan memastikan kalendar akademik yang disediakan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.

“Penjajaran kepada jadual peperiksaan awam juga akan dilaksanakan agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan,” katanya. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *