KUALA LUMPUR – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dukacita dan terkilan dengan isu melibatkan kalimah Allah yang merupakan kalimah agung bagi masyarakat Islam.
Ketua Pengarahnya, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, tindakan mempermainkan perkara berkaitan ketuhanan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dalam Islam.
Katanya, IKIM memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sekiranya ada unsur mengina agama Islam dalam isu itu.
“Tular kebelakangan ini berhubung isu penjualan stoking berjenama MiranoSock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangan kedai serbaneka terkemuka KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart).
“IKIM menyeru orang ramai mendapatkan maklumat betul dan membuat aduan di saluran yang tepat supaya dapat disiasat oleh pihak berkuasa.
“Sehubungan dengan itu, pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti ditekankan dalam Fiqh al-Ta’ayush hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, Dr. Mohamed Azam mengingatkan semua rakyat Malaysia tidak melakukan perkara yang dapat menjejaskan keharmonian hidup dalam kepelbagaian penganut agama, etnik dan suku kaum.
Beliau berharap insiden seperti itu tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan tindakan lebih tegas perlu dikenakan sekiranya mana-mana pihak cuba mengganggu-gugat keamanan dan memecahbelahkan masyarakat terutama isu yang menyentuh aspek 3R. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!