KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional mahu projek Bus Rapid Transit (BRT) yang dibatalkan pada tahun 2017 dihidupkan semula dengan beberapa langkah penambahbaikan.
Naib Ketuanya, Ammar Atan berkata, sistem BRT iaitu laluan khas bas di paras jalanan atau menggunakan jejambat lebih afdal berbanding pembinaan lebuh raya baharu untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan mengadaptasi sistem mirip “Transjakarta BRT” yang menyambut ulang tahun ke-20 tahun ini.
“Berjarak melebihi 250 kilometer, rangkaian BRT Indonesia ini adalah yang terpanjang di dunia dan Pemuda Amanah percaya ia mampu memberi “inspirasi” kepada pembinaan BRT di Malaysia.
“Sistem BRT tertutup di Bandar Sunway juga boleh menjadi panduan bagaimana mengimplimentasikan sistem BRT secara meluas.
“Secara umumnya, sistem BRT adalah lebih murah dan lebih mudah dibina berbanding sistem tren MRT dan LRT yang melibatkan teknologi yang lebih kompleks,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau memberi contoh, ketika projek BRT Klang-KL diumumkan dahulu, kosnya dianggarkan sekitar RM2 bilion untuk jarak 34 kilometer.
Kata Ammar, walaupun kos tersebut pastinya telah meningkat, kerajaan mesti mengambil kira kos pembinaan mod pengangkutan lain seperti dalam Belanjawan 2024, kos membina lima stesen LRT3 sahaja dianggarkan mencecah RM4.7 bilion.
“Kerajaan sudahpun mempunyai hasil kajian mengenai projek BRT ini. Malah, sejak 2009, kerajaan telah mengenal pasti 12 kawasan sekitar Lembah Klang, di mana BRT adalah mustahak.
“Ketika itu, 12 projek ini berjarak 215 kilometer iaitu hampir sama dengan projek Transjakarta BRT.
“Jadi, Pemuda Amanah berharap hasil kajian ini dapat ditambah baik dan projek-projek ini dapat dihidupkan kembali,” katanya.
Dalam pada itu, Pemuda Amanah mengutarakan beberapa cadangan agar projek BRT itu dapat dimulakan segera.
Katanya, bagi mengurangkan kos dan tempoh pembinaan, laluan khas bas BRT ini dicadangkan dibina pada “ground level” atau paras jalanan.
“Hanya di kawasan padat dan bertrafik tinggi sahaja konsep jejambat atau laluan bertingkat diperkenalkan untuk memastikan bas dapat bergerak tanpa mengganggu trafik.
“Lebih utama, laluan “ground level” dan jejambat ini harus diintegrasikan melalui “ramp” bagi memastikan sambungan tanpa halangan bagi bas-bas BRT.
“Selain itu, sistem BRT tidak harus dimonopoli oleh satu pihak pengendali sahaja seperti Prasarana yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. Sepatutnya, BRT ini harus mengintegrasi bas Prasarana dan pengendali bas swasta di bawah satu sistem yang sama,” ujar beliau. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com