BERITA UTAMA

Ops Ihsan: 33,000 lagi pek makanan dihantar ke Gaza

KUALA LUMPUR – Sebanyak 33,000 lagi pek makanan telah dihantar ke Semenanjung Gaza menerusi Ops Ihsan, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata, bantuan yang tiba pagi tadi dijangka memanfaatkan lebih 130,000 penduduk terkesan akibat konflik yang sedang berlangsung.

“Kita tahu urusan untuk membawa masuk bantuan itu agak rumit dan memerlukan beberapa proses. Jadi kita telah berjaya menghantar makanan sebanyak 33,000 pek.

“Setiap satu pek itu boleh digunakan untuk empat orang. Jadi kalau 33,000 pek bermakna 132,000 orang boleh menerima manfaat daripada bantuan setakat pagi tadi,” katanya pada Sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Sesi Kamar Khas itu diadakan susulan usul yang dibawa Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengenai perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan iaitu keperluan bagi Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Kementerian Luar (Wisma Putra) menurut Mohamad akan meneruskan usaha menghantar lebih banyak lagi pek makanan, selain daripada 100 tan makanan yang telah dihantar sebelum ini.

“Kita juga akan meneruskan usaha lain untuk menghantar beberapa lagi barangan bantuan kita ke Gaza. Kita sedang dalam perundingan untuk menghantar melalui jalan laut bermula di Port Klang hingga ke Mesir.

“… insya-Allah kita akan hantar pada penghujung Mac dan dijangka akan sampai (ke Mesir) pada 8 Mei,” katanya.

Selain itu Mohamad berkata Wisma Putra dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang berbincang tentang penghantaran sebuah pasukan perubatan ke hospital-hopital medan di Palestin yang dikendalikan oleh Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Turkiye.

“Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang ingin melihat segala bentuk bantuan kemanusiaan Malaysia kepada rakyat Palestin dapat diatur gerak melalui kolaborasi bersepadu, KKM dan Sekretariat Ops Ihsan sedang mempertimbangkan latihan kepada ahli pasukan khususnya bagi persediaan fizikal dan mental serta kebolehan berbahasa Arab,” katanya. – BERNAMA

 

Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *