BERITA UTAMA
'Rosmah guna dana syarikat beli barang kemas, hampir AS$350 juta' - 1MDB

Kes saman syarikat barangan kemas, permohonan Rosmah didengar 29 Mei

KUALA LUMPUR – Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk memasukkan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam kes saman syarikat barangan kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL terhadapnya akan didengar pada 29 Mei ini.

Peguam Rosmah, Rajivan Nambiar berkata, tarikh itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Norhaina Zulkifli ketika pengurusan kes berkenaan hari ini.

“Mahkamah juga memerintahkan Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan afidavit jawapan bagi pihak kerajaan dan Ketua Polis Negara sebelum 26 Mac.

“Anak guam saya perlu mengemukakan afidavit jawapan sebelum 16 April. Perbicaraan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ong Chee Kwan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ini berhubung saman syarikat barangan kemas antarabangsa berkenaan yang menuntut RM67.4 juta terhadap isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Pada 29 Mac tahun lalu, Global Royalty menyaman Rosmah, 71, dan mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Dalam permohonannya untuk memulakan prosiding pihak ketiga terhadap polis dan kerajaan, Rosmah menyatakan barang kemas yang dipertikaikan itu tidak berada dalam milikannya dan telah dirampas pihak berkuasa.

Sebagai defendan Rosmah boleh memulakan tindakan ini terhadap pihak ketiga yang bukan merupakan sebahagian daripada tuntutan utama, bagi menuntut sumbangan, ganti rugi atau sebarang remedi yang dituntut Global Royalty. – BERNAMA

 

Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *