KUCHING – Kerajaan Sarawak menafikan laporan sebuah asrama sekolah di sini, menyediakan peralatan buruk dan lapuk untuk kegunaan pelajar.
Sebaliknya, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada, tilam dan bantal buruk yang didakwa berada di bilik asrama sebuah sekolah di Serian itu adalah barangan yang hendak dilupuskan.
Beliau berkata, barangan itu masih menunggu surat kelulusan bagi tujuan pelupusan.
“Tilam yang ditularkan tersebut merupakan barang yang hendak dilupuskan dan menunggu surat kelulusan.
“Tilam, bantal dan asrama keseluruhannya adalah baik dan siap siaga menunggu kehadiran pelajar,” katanya seperti dilaporkan The Borneo Post dan Utusan Borneo, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal Mstar pada Rabu, seorang bapa pelajar ketika menghantar anaknya ke asrama terkejut sebaik melihat keadaan bilik di asrama yang dihuni dua anak lelakinya yang masing-masing merupakan pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga.
Bapa pelajar itu mendakwa, bukan sahaja kain yang membaluti tilam koyak rabak, sebahagian isi tilam turut berlubang dan terburai.
Selain itu, beliau mendakwa bantal buruk dan busuk yang sudah bertukar warna serta menjijikkan.
Bagaimanapun menurut Dr. Simon, perkara yang ditularkan itu ternyata tidak tepat.
“Ia tidak menggambarkan perkara yang sebenarnya berlaku di sekolah,” tegasnya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah berkenaan telah berada di sekolah terbabit seawal jam 6.40 pagi tadi bagi program Hari Pertama di sekolah peringkat Serian.
Kehadiran di sekolah itu disertai oleh wakil dari ibu pejabat polis Serian, pemanca serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbir sekolah. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com