PERSOALAN mengenai isu buka atau tutup kantin sekolah dalam bulan Ramadan adalah atas maslahah atau siyasah syar’iyyah pemerintah.
Hukum asal jual beli dalam bulan Ramadan adalah harus. Mufti Wilayah telah memberikan pencerahan dalam hal ini. Kata Mufti,
“Justeru, sekalipun dalam hukum hakam berkaitan jual beli Islam pada asalnya tidak melarang perbuatan jual beli makanan pada waktu siang bulan Ramadan, tetapi pihak pemerintah umat Islam berhak untuk mengenakan sekatan dan kawalan terhadap aktiviti jual beli tersebut apabila terdapat tujuan-tujuan yang dibenarkan oleh Syariah. Rujuk artikel kami yang bertajuk Irsyad Usul Fiqh Siri Ke-50: Hak Pemerintah Untuk Mengehadkan Perkara Yang Harus (Taqyid Al-Mubah) [1]. Secara ringkas kami menyebut:
“Tuntasnya, kami nyatakan bahawa kaedah taqyid al-mubah ini merupakan satu kaedah yang sahih dan muktabar di sisi syarak, dan ia juga bertepatan dengan contoh-contoh dalam hukum-hakam fiqh serta kaedah syarak yang lain. Namun demikian, penetapan syarat atau penyempitan terhadap perkara-perkara yang harus ini tidaklah bersifat mutlak, dan ia hanya terhad kepada skop yang dibenarkan bagi pemerintah untuk campur tangan, serta ia mestilah bertujuan untuk mencapai maslahah umum dan mengelakkan mudarat.”
https://muftiwp.gov.my/…/4399-irsyad-al-fatwa-khas…
Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah WP 1997 telah menjadikan ianya satu kesalahan untuk menjual makanan, minuman, rokok yang untuk tujuan digunakan serta-merta dan menjadikan kesalahan jika dibuat di tempat terbuka.
Seksyen 15 ini tidak dicabar oleh Nik Elin dan ianya kekal sah. Mahkamah Persekutuan tidak membatalkan seksyen ini. Kesalahan jika melakukan kesalahan ini adalah dipenjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih seribu ringgit. Jika kesalahan itu berulang makan boleh didenda tidak lebih dua ribu atau penjara tidak lebih satu tahun.
Seksyen 15 ini menjadikan kegiatan menjual sebagai satu kesalahan. Manakala, pihak yang membeli tidak menjadi satu kesalahan. Namun, bagi pihak yang membeli, ianya akan menjadi satu kesalahan tatkala dia makan secara terbuka atau di tempat awam. Apakah itu tempat awam, lazimnya tempat awam ini adalah tempat yang boleh dimasuki oleh khalayak ramai meskipun tempat itu adalah kepunyaan peribadi.
Maknanya, jika saudara melalui pandu lalu McDonald misalnya dan membeli makanan ianya tidak menjadi kesalahan yang boleh didakwa. Begitu juga jika saudara makan McDonald yang dibeli itu ditempat yang tersorok seperti dalam bilik rumah sendiri ianya tidak menjadi kesalahan. Kesalahan hanya akan berlaku jika saudara beli dan makan di dalam kereta di tempat parking atau di tempat lain yang boleh diakses oleh orang lain.
Walaupun tidak berpuasa dalam keadaan di atas itu tidak menjadi kesalahan yang boleh didakwa, namun meninggalkan puasa Ramadan tanpa sebab yang syari’e adalah menjadi perkara dosa dan maksiat dan akan dihukum oleh Allah SWT di akhirat.
Dalam hal ini pasukan penguatkuasaan agama hendaklah lebih proaktif dalam menangkap orang yang tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Penangkapan dan pendakwaan perlu dibuat segera untuk memberikan halangan dan deteren kepada orang lain yang berbuat perkara yang sama. Dua hari lepas bersamaan dengan 1 Ramadan, sewaktu parking kereta untuk membeli barang keperluan di sebuah pasaraya di Selayang ada seorang tukang jaga parking yang menggunakan vape secara terbuka. Apabila ditanya adakah anda tidak berpuasa, beliau menjawab tidak padahal kelihatan beliau tidak mempunyai sebarang uzur syari’e.
Jika dilihat aspek siasah syar’iyyah pun kelihatan tindakan KPM mengarahkan supaya kantin dibuka ada logiknya. Ini membolehkan pihak sekolah mudah memantau keadaan dan mengelakkan daripada berlaku tohmahan seperti sebelum ini yang mana didakwa ada pelajar-pelajar bukan Islam yang perlu makan di dalam tandas atau di bilik persalinan.
Oleh itu, kita tidaklah harus menjadi pelampau dalam beragama. Berpada-padalah dalam menghasut rakyat membenci tindakan KPM. – NasionalDaily
Dr Zulqarnain Lukman adalah penganalisis politik dan syarie
Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com