KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon hakim Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicara dengan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Razak daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta.
Muhammad Shafee membuat permohonan itu pada pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim K Muniandy di sini, hari ini berikutan Peguam Negara belum membuat keputusan terhadap representasi dihantar Najib pada Ogos lalu.
Beliau berkata, pihak pembelaan masih menunggu keputusan representasi dikemukakan pihaknya pada 1 Ogos 2023.
“Sudah sembilan bulan, tetapi representasi belum ada keputusan, ini tidak adil kepada anak guam saya,” katanya dipetik Berita Harian sebagai berkata.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan Peguam Negara belum memutuskan representasi dan pihaknya tidak menarik balik tuduhan, sebaliknya arahan diterima adalah untuk meneruskan dengan pendakwaan.
Mohd Ashrof berkata, seramai 20 hingga 25 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu dan pihaknya sedang menyiapkan pernyataan saksi sebelum menyerahkannya kepada pihak pembelaan.
Beliau berkata, setakat ini hanya satu pernyataan saksi sudah siap dan pihaknya memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk melengkapkannya kerana bukan semua saksi berada di Lembah Klang, selain pernyataan berkenaan saling berkaitan.
Susulan itu, Muniandy tidak membuat keputusan mengenai permohonan Muhammad Shafee dan memberi tempoh dua bulan sehingga Mei ini bagi membolehkan pernyataan saksi disiapkan sebelum perbicaraan.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta terhadapnya, yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com