Pemandu treler sebabkan dua pelancong asing maut ditahan

SEMPORNA – Polis menahan seorang pemandu treler dalam kejadian kemalangan tiga kenderaan yang menyebabkan dua pelancong asing meninggal dunia dan lima lagi parah.

Lelaki tempatan itu antara yang terlibat dalam kejadian di KM21 Jalan Semporna-Tawau dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pemandu berusia 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kemalangan antara treler dipandunya, van pelancongan serta sebuah lori lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh minima lima tahun dan maksima 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, kemalangan pada jam 3.30 petang itu dipercayai berlaku selepas treler tersebut hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan, sebelum melanggar van membawa enam pelancong Singapura serta Vietnam.

“Akibat pelanggaran dua kenderaan itu, serpihan kemalangan terbang ke cermin lori yang berada di belakang treler, dan kemalangan ini mengakibatkan seorang lelaki Singapura serta seorang wanita Vietnam yang menaiki van pelancongan itu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mohd Farhan berkata pemandu van iaitu lelaki tempatan serta empat penumpang van warga Singapura cedera parah dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, individu yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna Insp Hemkkumar Ayathuray di talian 012-3650021 atau talian balai polis 089-782020. – BERNAMA

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *