BERITA UTAMA

Menteri Sarawak enggan ulas lelaki kahwin dua isteri serentak

KUCHING – Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah enggan mengulas mengenai perkahwinan seorang lelaki dengan dua isteri serentak.

Kata beliau, perkara itu di luar bidang kuasanya, yang mana umum tahu undang-undang perkahwinan sivil hanya membenarkan individu berkahwin dengan seorang pasangan sahaja.

Beliau menjelaskan, di Sarawak terdapat beberapa jenis perkahwinan iaitu sivil, adat dan yang membabitkan orang Islam; setiap satu daripadanya mempunyai peraturan mahupun undang-undang masing-masing yang perlu diikuti.

“Saya percaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai perkara tular tersebut,” ujar beliau ketika ditanya pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Persediaan Penganjuran Para SUKMA Ke-21 di kediamannya di Petra Jaya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tular beberapa gambar hari ini yang memaparkan seorang lelaki Cina mengahwini dua wanita pada majlis resepsi perkahwinan yang diadakan di sebuah restoran di Kuching, malam tadi.

Gambar berkenaan seterusnya telah membawa kepada perdebatan mengenai poligami dalam kalangan orang bukan Islam di negeri ini.

Penjual mi kolo, Lim Soon Kien yang melangsungkan perkahwinannya dengan dua gadis idaman hatinya menjadi topik perbualan hangat netizen di media sosial.

Difahamkan Soon Kien meraikan majlis perkahwinannya di salah sebuah restoran di sini semalam, mendapat perhatian orang ramai kerana dia mengahwini dua pengantin wanita, Ivy Ong dan Dewi Kartika pada satu majlis yang sama.

Malah, dia turut meraikan malam bulan madunya bersama kedua-dua isterinya dalam bilik yang sama.

Dalam majlis itu, Lim bersama dua pengantin wanita dilihat mengenakan pakaian pengantin serba putih, selain mengikut tradisi perkahwinan kaum Cina disaksikan rakan dan saudara mara.

Dalam pada itu, portal rasmi JPN, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan menyatakan, seseorang yang telah berkahwin secara sah di bawah mana-mana undang-undang tidak boleh berkahwin lagi dengan sah dengan seseorang lain semasa perkahwinan ini masih berterusan sama ada di Malaysia atau di mana-mana negara lain.

Menurut portal itu juga, jika seseorang yang telah berkahwin dengan sah di bawah sesuatu undang-undang, agama, adat atau kelaziman berkahwin lagi dalam masa berterusnya perkahwinan itu dan dalam hayat suami atau isteri, maka ia disifatkan sebagai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 494 Kanun Keseksaan. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *