IPOH – Seramai 152 pengunjung sebuah pusat hiburan di sini ditahan polis dengan 25 daripadanya termasuk 11 wanita warga Vietnam berusia 21 hingga 41 tahun positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan benzon.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, daripada keseluruhan tangkapan itu, enam wanita warga Vietnam ditahan kerana disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam premis berkenaan, selain tidak memiliki permit kerja yang sah.
Katanya, seorang penjaga premis juga ditahan kerana telah menggaji warga asing bekerja di pusat hiburan itu tanpa permit kerja sah.
“Kesalahan ini disiasat bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kata Mohd Yusri, tangkapan di pusat hiburan itu susulan penahanan seorang lelaki berusia 28 tahun oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perak di hadapan pusat hiburan di Sitiawan dekat sini, pada jam 12.35 tengah malam semalam.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan dalam kereta yang dinaiki lelaki terbabit, polis menjumpai dan merampas lima paket plastik merah berisi bahan disyaki jus minuman berperisa mengandungi dadah anggaran berat 54.45 gram.
“Pasukan JSJN juga menjumpai dan merampas satu paket plastik berwarna hitam bertulisan “Keep calm and show middle finger” dalamnya berisi bahan disyaki jus minuman berperisa mengandungi dadah anggaran berat 31.30 gram.
“Selain itu, satu paket plastik di dalamnya sembilan paket plastik lutsinar setiap satu berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin anggaran berat 14.0 gram dan satu keping foil aluminium berisi tujuh biji pil disyaki Eramin 5 anggaran berat 1.90 gram.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM2,936,” katanya.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati lekaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod kesalahan lampau kes jenayah serta dadah.
Kes itu, katanya, disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lelaki itu direman tujuh hari sehingga 16 Mac ini untuk membantu siasatan.
“Susulan daripada tangkapan lelaki inilah, pasukan JSJN menyerbu sebuah pusat hiburan dan menahan 152 pengunjung termasuk wanita warga asing yang bekerja sebagai GRO.
“Berdasarkan siasatan ini, aktiviti pengedaran dadah ini dipercayai mula aktif sejak tiga bulan lalu dan dadah yang dirampas dari lelaki terbabit disyaki untuk diedarkan di pusat hiburan ini,” ujar beliau. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com