KUALA LUMPUR – Dr. Akmal Salleh terus menjadi sasaran kecaman beberapa pemimpin bukan Islam, Melayu yang tidak berpuas hati dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu mengaitkan kewujudan sekolah vernakular sebagai kegagalan masyarakat bersatu.
Terbaharu, bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy membidas Exco Melaka itu dengan menyifatkannya sebagai keliru berhubung isu polarisasi kaum apabila mendakwa sekolah vernakular sebagai punca masalah perpaduan.
Dr. Akmal dalam kenyataan balasnya hari ini menegaskan, kerana orang politik seperti bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu menjadi punca perpaduan antara kaum selama ini tidak dapat disuburkan.
“Kata parti kamu berbilang kaum, mahu membentuk bangsa Malaysia, tetapi bab pendidikan nak diasingkan?
“Kamu mabuk ke apa?,” ujar Dr. Akmal menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Semalam, P Ramasamy membidas Ketua Pemuda UMNO itu susulan gesaannya supaya kajian menyeluruh dilakukan ke atas ekosistem pendidikan sekolah vernakular.
Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) itu turut mempersoalkan sama ada Dr. Akmal akan mencadangkan supaya sekolah vernakular dihapuskan.
Mengulas lanjut, Ketua Pemuda UMNO itu berkata, bagi membentuk satu bangsa Malaysia dan menyuburkan perpaduan antara kaum, ehwal pendidikan sepatutnya tidak diasingkan. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com