BERITA UTAMA

Cabaran kosongkan kerusi: “Kepala ‘parti lompat’ yang mahu cadang pula”- Anwar

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cabaran kepada kerajaan pimpinannya bagi mengisytiharkan kekosongan kerusi di lima kawasan Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor membabitkan pemimpin parti itu yang belot.

Menurut beliau, terpulang kepada Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat untuk berbuat demikian atau tidak, selain ianya tidak melibatkan dirinya sebagai ketua kerajaan.

Astro Awani melaporkan, Anwar yang turut menggelar Muhyiddin sebagai ‘kepala parti lompat’ dan pakar dalam lompat parti menyatakan tindakan yang dibuat enam pemimpin dari parti Bersatu itu menunjukkan hilangnya keyakinan mereka terhadap parti berkenaan.

“Kepala ‘parti lompat’ nak cadang (kerajaan isytihar kekosongan kerusi) pula, itu (sebenarnya) terpulang kepada (semua) Ahli Parlimen (serta ADUN) yang terlibat, bukannya saya.

“Dia (sebagai seorang) yang pakar pasal lompat (parti) dan ‘scheme of things’, (jika melibatkan isu) itu, dia (orang yang) patut jawab, (sebenarnya) ini (menunjukkan) orang sudah hilang keyakinan kepada (parti) Bersatu terutamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Ramah Mesra bersama PDRM dan masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu.

Terdahulu, kerajaan dicabar mengisytiharkan kekosongan kerusi di enam kawasan Parlimen dan satu DUN Selangor membabitkan wakil rakyat PN di Parlimen Tanjong Karang, Bukit Gantang, Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar, Labuan dan DUN Selat Klang.

Jelas Muhyiddin, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk membuat keputusan setelah wakil rakyat PN yang dipilih dalam pilihan raya umum (PRU) lalu mengkhianati parti dengan menyokong kerajaan. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *