KUALA LUMPUR – Satu pusat hiburan diarah tutup serta merta, manakala satu lagi disita di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) malam dan awal pagi tadi.
Operasi Tindakan Khas Premis Berisiko (Kelab/Premis Hiburan) itu dilakukan Jabatan Penguatkuasaan DBKL dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).
Menurut kenyataan dikeluarkan, operasi siri 1/2024 itu dilakukan di Jalan Sungai Besi dan Jalan Metro Pudu di sini bermula jam 9 malam tadi dan berakhir jam 2 pagi ini.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan bersepadu bersama JKDM dan JIM di dua premis kelab hiburan berkenaan, DBKL mengenakan satu tindakan penutupan serta merta.
“Kita juga menyita peralatan di bawah Seksyen 17 Akta Hiburan 1992 termasuk membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan tanpa kebenaran.
“Selain itu, satu notis Kaedah 19 iaitu tiada hiburan selain daripada yang dinyatakan dalam lesen hiburan di bawah Kaedah-Kaedah Hiburan (WPKL) 1993,” katanya.
Dalam operasi itu juga, DBKL turut menyita 19 peralatan dari dua premis hiburan berkenaan iaitu pioneer DJ sipnner, microphone receiver, microphone, speaker, kerusi, meja petak dan lain-lain peralatan.
Semua peralatan muzik itu dihantar ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Kuala Lumpur untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com