PULAU PINANG – Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) bukan lesen untuk menjadi wartawan, sebaliknya merupakan medium pemudah cara bagi pengamal media untuk membuat liputan terutama melibatkan program rasmi kerajaan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, ini kerana bidang kewartawanan bukan seperti bidang perundangan yang mempunyai Majlis Peguam, akauntan mempunyai Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun, arkitek melalui Lembaga Arkitek dan doktor ada persijilan sendiri.
“Kad Perakuan Media JaPen diberi khusus untuk memudah cara wartawan hadir dan mengikuti acara rasmi kerajaan…jadi jika majlis korporat, komunikasi korporat mereka akan membuat jemputan media dan mereka mengharapkan media yang dijemput hadir, tetapi terpulang kepada mereka untuk membenarkan mereka masuk atau tidak,” katanya selepas lawatan ke Penang House of Music di Komtar hari ini.
Beliau berkata, isu berkenaan Kad Perakuan Media JaPen telah dibangkitkan oleh kelab pewarta asing iaitu rakyat Malaysia yang bertugas dengan agensi media antarabangsa mendakwa mereka diberi tempoh yang singkat sebagai pemegang kad.
“Selain itu, beberapa pihak juga mempersoalkan had yang lebih pendek untuk wartawan media dalam talian dan terdapat dakwaan sesetengah pihak yang menyalahgunakan kad-kad perakuan media ini.
“Untuk kesemua isu ini, saya telah meminta pihak JaPen untuk meneliti dan pengumuman akan dibuat oleh JaPen dalam tempoh masa terdekat mengenai semua isu yang dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata JaPen sedang mengemas kini dan menyelaras kembali tempoh sah laku Kad Perakuan Media untuk semua organisasi mengikut beberapa prosedur operasi standard (SOP).
Sementara itu, Fahmi berkata pihaknya telah meninjau keadaan Penang House of Music (PHoM) yang didakwa menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan operasi tetapi beliau telah mengarahkan MyCreative Ventures untuk membantu.
Beliau berkata bagi bantuan jangka masa pendek, Pengerusi MyCreative Ventures Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik akan berbincang dengan pengasas PHoM Paul Augustin untuk mencari jalan penyelesaian.
“PHoM telah beroperasi di Komtar selama lebih kurang tujuh tahun jadi model kemampanan operasi ini mungkin perlu diteliti semula supaya mereka masih lagi beroperasi, mungkin bukan di Komtar tetapi di tempat lain,” katanya.
Baru-baru ini, PHoM yang ditubuhkan pada 2016 atas bantuan Kerajaan Pulau Pinang, dilaporkan telah menghadapi masalah kewangan dan mengumumkan hasrat untuk menghentikan operasi. – BERNAMA
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com