BERITA UTAMA

TDM tubuh Lembaga siasatan kes pegawai kanan belasah anggota bawahan

KUALA LUMPUR – Selepas tular aduan beberapa anggota tentera dibelasah pegawai atasannya, Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini mengumumkan penubuhan lembaga siasatan.

Pada masa sama, TDM turut mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh salah seorang pegawai kanannya yang kini bertugas di Sarawak.

Markas TDM dalam kenyataannya kepada media menyatakan, mangsa yang telah membuat laporan polis pada 3 Mac lalu mendakwa telah ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di perut oleh pegawai kanan terbabit sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan kecederaan disebabkan serangan fizikal.

Kejadian berlaku ketika pegawai berkenaan sedang menjalani latihan peringkat formasi.

Kenyataan Markas TDM berkata, pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut.

“Pihak TDM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan tentera darat sedia ada sekiranya terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang didakwa,” katanya.

Pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan tugas pemerintahan bagi membolehkan TDM melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memandang serius dakwaan tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

“TDM berharap agar semua pihak tidak menularkan laporan berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif yang boleh mengganggu proses siasatan sehingga selesai dilaksanakan,” katanya. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *